ARTIKEL

Timur Tengah lubuk emas

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

JAGUH Muay Thai negara dari Sarawak, Johan Ghazali, 19, atau lebih dikenali sebagai Jojo, antara sekitar 1,600 jemaah umrah Malaysia yang terkandas di Makkah, setelah penerbangan pulang dibatalkan susulan penutupan ruang udara di beberapa negara Timur Tengah.

Mereka sekeluarga telah pun berada di Makkah sejak awal Ramadan lalu dan sepatutnya pulang ke tanah air Ahad lalu.

Bagaimanapun jemaah umrah Malaysia dijangka tiba di ibu kota pada hari ini dan esok. Krisis semasa di Timur Tengah menyebabkan beberapa negara menutup atau mengehadkan penggunaan ruang udara sebagai langkah berjaga-jaga.

Ia menjejaskan operasi penerbangan komersial antarabangsa dan memberi kesan terhadap jadual penerbangan beberapa hab utama, termasuk Arab Saudi, apabila syarikat penerbangan terpaksa membatalkan atau menjadualkan semula penerbangan atas faktor keselamatan.

Pertempuran antara Amerika Syarikat-Israel dengan Iran yang semakin memuncak menyebabkan rakyat Malaysia yang tinggal di Timur Tengah cemas.

Mohamad, 43, yang bekerja dalam sektor minyak dan gas di Doha, Qatar menegaskan, keadaan semakin merisaukan apabila serpihan bom jatuh di kawasan kejiranan, sehingga ada yang terkena rumah jiran.

“Keadaan ini menyebabkan saya trauma dan tidak dapat melelapkan mata kerana bimbang keselamatan keluarga. Gegaran daripada letupan bom menyebabkan tingkap dan dinding rumah pecah,” katanya yang dipetik dalam akhbar nasional.

“Kami juga dapat melihat banyak dron berlegar di ruang udara kawasan sekitar,” ujarnya yang menetap di sana bersama-sama isteri dan tiga anak.

Seorang lagi rakyat Malaysia yang menetap di Ajman, Emiriyah Arab Bersatu (UAE), Nurul Ain Haron, 40, menyatakan serpihan peluru berpandu yang dipintas jatuh tepat di tengah bandar itu.

“Tiada bunyi siren, namun dalam sekelip mata keadaan menjadi cemas apabila serpihan peluru jatuh tepat di kawasan tumpuan pelancong di tengah bandar ini,” katanya.

Nurul Ain, bersama-sama suaminya, warga Palestin, Mohamad Adab Shaat, 36, memberitahu dua serpihan peluru berpandu jatuh di Palm Jumeirah dan City Walk Dubai, sehingga menyebabkan sebuah hotel di kawasan berkenaan terkena serpihan.

“Setakat ini, kehidupan seharian masih berjalan seperti biasa.

Tiada arahan perintah berkurung atau bunyi siren amaran di Dubai. Namun, kebimbangan tetap ada apabila mengetahui ada serpihan yang jatuh di kawasan bandar,” katanya lagi.

Mohamad dan Nurl Ain adalah antara 29,000 rakyat Malaysia yang bekerja di negara Timur Tengah. Sekitar 13,000 berdaftar dengan kedutaan.

Di UAE terdapat sekitar 8,500 rakyat Malaysia, manakala di Qatar sahaja, seramai 2,007 rakyat kita berdaftar dan kebanyakannya bekerja dengan syarikat penerbangan dan sektor berkaitan.

Apa menariknya Timur Tengah? Yang pasti, ia merupakan destinasi ‘lubuk emas’ bagi kebanyakan pekerja dari negara luar, terutama Malaysia.

Gaji lumayan, mencecah lima angka, serta insentif luar biasa, sebagai daya tarikan. Ia termasuk pengecualian cukai pendapatan di kebanyakan negara tersebut, seperti di Qatar, UAE, Arab Saudi, Oman, Kuwait dan Bahrain. “Bukan sahaja gaji lumayan (lima angka), tetapi juga tip dan insentif yang luar biasa.

Kerja lebih masa, atau semasa cuti sentiasa menjanjikan habuan lumayan,” kata pekerja dalam sektor perubatan dari Sarawak yang enggan namanya disiarkan.

Bagaimanapun beliau yang telah pun beberapa tahun menabur bakti di Bumi Arab, tetap menyimpan hasrat untuk kembali ke Malaysia suatu hari nanti, kerana tetap menganggap ‘hujan batu di negeri sendiri, lebih baik daripada ‘hujan emas di negeri orang’.

Malah katanya, ramai rakyat Malaysia yang bekerja selama tujuh tahun hingga 15 tahun, akan kembali ke negara sendiri.

Peluang kerjaya yang banyak dalam pelbagai sektor tenaga, aviasi, perubatan dan pembinaan serta persekitaran budaya yang mesra Muslim turut menjadi tarikan utama, malah turut disediakan tempat penginapan, pengangkutan, dan insurans kesihatan berkualiti tinggi.

Yang pasti, terdapat permintaan tinggi bagi pekerja mahir dan tenaga kerja profesional dalam sektor infrastruktur, pelancongan, serta minyak dan gas di sana.

Persekitaran kondusif dari segi agama (Islam) memudahkan penyesuaian bagi rakyat Malaysia, terutama masyarakat Melayu. Malaysia turut dihormati rakyat di negara-negara Timur Tengah kerana mempunyai hubungan diplomatik yang baik. Kualiti kerja juga sangat dihargai. Banyak syarikat di sana menerapkan sistem penilaian berdasarkan prestasi yang memberi ruang kepada pekerja untuk menunjukkan prestasi terbaik. Jika anda bekerja keras, peluang mendapat bonus atau promosi karier sangat terbuka. Budaya kerja ini menjadikan Timur Tengah tempat yang ideal untuk mengembangkan karier.

Qatar dan Arab Saudi misalnya, sedang merangka visi besarbesaran untuk mempercepat pertumbuhan ekonomi.

Rencana besar seperti “Saudi Vision 2030” menunjukkan bahawa Timur Tengah bukan sekadar menyediakan peluang kerja untuk masa kini, tetapi juga menjanjikan prospek karier jangka panjang.

Oleh itu, ia menawarkan peluang yang sangat menarik. Habuan lumayan turut memancing bintang sukan tersohor dunia, Cristiano Ronaldo, 41, yang telah pun masuk musim keempat bersama kelab Al-Nassr (Arab Saudi) yang berpangkalan di Riyadh.

Beliau menandatangani kontrak paling lumayan dalam sejarah sukan dengan perjanjian baharu bernilai 492 juta pound (RM2.86 bilion) untuk tempoh dua tahun.

Legenda Portugal itu akan kekal bersama Al-Nassr untuk tempoh dua tahun lagi, dengan gaji asas mencecah 488,000 pound (RM2.83 juta) sehari. Bekas bintang Real Madrid dan Manchester United itu turut ditawarkan kemewahan lain untuk menjadi duta bagi kelab dan pendapatannya menjangkau sehingga RM3 bilion untuk dua tahun akan datang.

Selain gaji 178 juta pound (RM1.03 bilion) setahun, Ronaldo juga dibayar 24.5 juta pound (RM142.26 juta) sebagai bonus menandatangani kontrak, yang akan meningkat kepada 38 juta pound (RM220.64 juta) jika memasuki tahun kedua.

Beliau mempunyai 16 pembantu sepanjang masa, tiga orang pemandu, empat pembantu rumah, dua tukang masak, tiga tukang kebun dan empat pengawal keselamatan.

Semua perbelanjaan iditanggung majikannya, Al-Nassr. Selain itu kos penggunaan jet peribadi bernilai 4 juta pound (RM23.22 juta) juga ditanggung, serta perjanjian penajaan oleh syarikat-syarikat Arab Saudi yang mencecah 60 juta pound (RM348.28 juta).

Selain Ronaldo, bekas bintang Perancis dan Real Madrid, Karim Benzema turut menerima gaji yang sangat lumayan bersama kelab Al-Ittihad (Arab Saudi), dengan pendapatan mencecah RM423 juta setahun, dengan anggaran sekitar RM35 juta sebulan. 

Namun peperangan bakal menjejaskan tumpuan orang ramai untuk ke negara Timur Tengah. Terbaharu, seramai 20 pemain bola tampar wanita dilaporkan terbunuh dalam satu serangan udara di selatan Iran semalam.

Serangan itu menyasarkan sebuah gimnasium di bandar Lamerd, wilayah Fars sejak 28 Februari lalu.

Agensi berita “Islamic Republic of Iran Broadcasting (IRIB)” melaporkan kanak-kanak turut berada dalam bangunan tersebut ketika serangan, manakala Tasnim News Agency menyatakan sekurang-kurangnya empat lagi fasiliti di bandar berkenaan terkena bedilan.

Komander tentera AS di Asia Barat menegaskan bahawa pasukan negara itu sudah pun menyerang hampir 2,000 sasaran di Iran.

Laksamana Brad Cooper dari Pemerintah Pusat AS (CENTCOM), berkata ia adalah sebahagian daripada pengumpulan kekuatan ketenteraan terbesar di rantau itu dalam tempoh satu generasi.

BERITA LAIN

Deepfake dan demokrasi

DEMOKRASI dibina atas satu asas yang paling penting, iaitu kepercayaan. Rakyat perlu mempercayai bahawa maklumat yang diterima adalah benar, proses pilihan raya berlangsung secara adil,

Kepercayaan memakan diri

DUA hari lalu, polis Saratok mendedahkan seorang wanita warga emas dari Kabong terpedaya oleh seorang bomoh palsu dari Sibu. Terpedaya itu bukan seribu dua, belasan

BERITA TERBARU