
SIBURAN: Meningkatkan taraf hidup rakyat di Puncak Borneo antara agenda yang hendak diperjuangkan oleh Iana Akam.
Menurut calon Parti Sarawak Bersatu (PSB) Puncak Borneo itu, rakyat ketika ini terkesan akibat kemelesetan ekonomi dunia namun Kerajaan Persekutuan seolah-olah tidak mencari jalan untuk mengatasi masalah tersebut
Katanya, kerajaan seperti tidak ada cara untuk membantu rakyat yang berdepan dengan kenaikkan harga barang semasa.
“Kita tahu kemelesetan ekonomi akan lebih teruk pada tahun hadapan. Seluruh negara, seluruh dunia sudah mula memikir cara ingin membantu rakyat.
“Kita di Puncak Borneo bukan dari kawasan yang cukup maju. Dari segi infrastruktur juga kita masih melihat Puncak Borneo masih kebelakang. Banyak kawasan di luar memerlukan banyak pembangunan,” katanya ketika ditemui media di pusat penamaan calon Parlimen Puncak Borneo, Pejabat Daerah Siburan, di sini hari ini.
Selain itu, bekas guru dan ahli perniagaan berumur 47 tahun itu berkata, antara agenda lain yang hendak diperjuangkan adalah peluang pekerjaan untuk golongan muda.
Katanya, ramai anak muda ketika ini tidak mempunyai pekerjaan khususnya lepasan sekolah dan universiti.
“Kita juga hendak melihat kepada wanita, sebagai satu-satu calon wanita saya akan perjuangkan hak wanita.
“Macam mana hendak tingkatkan ekonomi golongan wanita. Kita harus mempunyai satu cara, mekanisme membantu wanita kita dalam keadaan ekonomi sekarang,” ujarnya.
PRU-15 menyaksikan Iana dan calon Pakatan Harapan (PH) Diog Dios mencabar penyandang kerusi Parlimen Puncak Borneo yang juga calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) Datuk Willie Mongin.
Willie memenangi kerusi Puncak Borneo pada PRU-14 dengan meraih 4,005 undi majoriti dalam saingan tiga penjuru.
Beliau memperoleh 18,885 undi menewaskan calon Barisan Nasional (BN) Genot Sinel yang meraih 14,860 dan calon Star, Buln Patrick Ribos yang sekadar mendapat 795 undi.





