TAHNIAH untuk pelajar yang meraih keputusan cemerlang Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) yang dikeluarkan Selasa lalu.
Di Sarawak, seramai 92 calon 2024 meraih Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 4.00, berbanding 88 calon pada 2023.
Manakala PNGK antara 3.75 hingga 3.99, seramai 312 calon direkodkan.
Seramai 1,570 calon memperoleh PNGK antara 3.00 hingga 3.74. Selain itu, 841 calon mencatat PNGK antara 2.75 hingga 2.99, sementara 2,082 calon meraih PNGK antara 2.00 hingga 2.74.
Apakah rahsia pelajar cemerlang? Bagi pelajar hebat SMK Saribas Betong, Hanajiaa Patrick, 20, yang meraih PNCK 4.00, bangun seawal 2.00 pagi, antara resipi kejayaannya.
“Saya bangun awal (2.00 atau 3.00 pagi) untuk belajar hingga jam 4.00 pagi.
Selain itu, saya juga gemar mengulang kaji secara berkumpulan, terutama semasa cuti sekolah.
“Setiap semester, saya pastikan mendapat purata PNGK 3.50 ke atas.
Saya perlu rajin hadir ke kelas tambahan yang diadakan oleh guru. Sekolah bermula dari jam 7.00 pagi hingga 12.30 atau 1.00 petang, kemudian saya sambung dengan kelas tambahan,” ujar Hanajiaa.
Bagi pelajar SMK Sacred Heart Sibu, Emily Ling, 20, kejayaan meraih PNGK 4.00, bukanlah sesuatu yang mengejutkan, kerana ia adalah sasaran beliau sejak awal.
Fokus sepanjang pembelajaran di dalam kelas dan banyak melakukan latihan merupakan strategi utamanya. “Guru sangat membantu dan sentiasa bersedia menjawab soalan. Saya guna hampir semua masa untuk belajar.
“Yang pasti, ibu saya merupakan penyokong tegar saya sepanjang pengajian,” ujar Emily.
Malah beliau menyeru golongan muda untuk melanjutkan pelajaran ke Tingkatan Enam, kerana pengalaman itu sangat berharga.
Realitinya, Tingkatan Enam merupakan ‘prauniversiti’ (setaraf diploma), walaupun ia kurang popular dalam kalangan pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), lebih-lebih lagi calon cemerlang.
Mereka biasanya memilih institusi pengajian tinggi (IPT) awam atau swasa, mengambil kursus pilihan masing-masing untuk terus meraih ijazah sarjana muda.
Hakikatnya Tingkatan Enam menjadi pilihan kedua atau terakhir, bagi mereka yang gagal mendapat tempat dalam IPT. Ia kerana dikhuatiri, jika tidak ke Tingkatan Enam, maka tiada peluang bagi mereka untuk melanjutkan pelajaran di IPT.
Peperiksaan STPM dikatakan sangat mencabar, menyebabkan kebanyakan pelajar mengelak ke Tingkatan Enam.
Malah ada yang menyatakan bahawa SPM ibarat ‘menentang buaya’, tetapi STPM bagaikan ‘menentang naga’.
Realitinya, Tingkatan Enam adalah tiket terbaik untuk melanjutkan pelajaran ke IPT. Hanya satu tahun setengah, pelajar akan menimba pelbagai pengalaman mencabar dan menarik.
Malah ramai yang menyatakan bahawa, pelajar Tingkatan Enam akan lebih menyerlah daripada pelajar lepasan SPM yang terus masuk universiti. Ia kerana melalui Tingkatan Enamlah, maka seseorang pelajar itu akan terdedah dengan pembelajaran pemikiran kritis.
Misalnya melalui subjek Pengajian Am, yang menuntut pelajar untuk bertindak pantas dan kreatif menjawab soalan. Jadi, ia merupakan asas yang cukup baik bagi pelajar sebelum menimba ilmu di menara gading.
Oleh itu, STPM kekal sebagai landasan utama untuk membina ketahanan mental dalam kalangan pelajar prasiswazah.
Pelajar Tingkatan Enam boleh berpakaian bebas seperti baju kurung, bertudung atau mengikat rambut dengan kemas bagi pelajar perempuan bukan Islam, dan berkemeja serta bertali leher untuk pelajar lelaki.
Lebih menarik, ‘sebelah kaki’ sudah dijamin untuk memasuki universiti pilihan masing-masing dengan bidang yang mereka minati apabila mengambil keputusan ke Tingkatan Enam.
Oleh itu, Tingkatan Enam wajar menjadi medium melanjutkan pelajaran selepas SPM kerana ia setanding program antarabangsa seperti Cambridge.
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek menjelaskan, STPM bukan laluan kelas kedua kerana kelulusan itu mendapat pengiktirafan lebih daripada 2,000 universiti di seluruh dunia
. “Penjenamaan semula Tingkatan Enam antara usaha strategik yang dilaksanakan seiring aspirasi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013–2025 dalam memperkasakan laluan pascamenengah,” katanya.
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan terus memperkasakan Tingkatan Enam sebagai landasan utama pelajar lepasan SPM ke IPT.
Memperkasakan pendidikan Tingkatan Enam melalui peningkatan imej, sistem, dan kualiti pendidikan setaraf pendidikan lepasan menengah yang lain selepas SPM seperti matrikulasi atau pusat asasi sains, kerana ianya dilihat sebagai salah satu laluan utama pelajar untuk melanjutkan pelajaran ke universiti.
itu, mengubah persepsi masyarakat terhadap pendidikan Tingkatan Enam serta membangun dan memupuk nilai kepimpinan yang tinggi dalam kalangan pelajar.
Penjenamaan semula Tingkatan Enam adalah usaha strategik yang berdaya saing demi memastikan akses pendidikan berkualiti dapat dinikmati semua lapisan masyarakat.
Seiring dengan komitmen tersebut, KPM turut mengalualukan pelibatan sektor swasta dalam menjayakan agenda pendidikan negara, termasuk menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR).
Tidak dinafikan, struktur peperiksaan STPM yang bersifat modular itu digabungkan dengan komponen kerja kursus dan peperiksaan akhir menjadikan ia sebagai penilaian menyeluruh.
Ia bukan sekadar menguji keupayaan pelajar dalam memahami teori semata-mata, malah menilai kematangan dalam analisis, penulisan dan persembahan idea.
Malangnya, kurang pendedahan mengenai kelebihan STPM menyebabkan ramai pelajar masih memilih haluan lain tanpa memahami potensi sebenar sistem tersebut.
Jadi, sudah tiba masanya untuk masyarakat mengubah persepsi tersebut bahawa setiap laluan pendidikan mempunyai nilai tersendiri jika dihayati dengan bersungguh-sungguh.
Realitinya, STPM bukan sekadar peperiksaan, ia adalah simbol kekuatan jiwa seseorang pelajar.
Tingkatan Enam mempunyai kelebihan dari segi kos (rendah), masa, sehinggalah peluang masa depan.
Jadikan Tingkatan Enam sebagai pilihan utama, kerana ramai yang berjaya di luar sana, adalah lulusan STPM.



