Tingkatkan denda curi elektrik

KUCHING: Sebanyak 310 kes vandalisme dan kecurian komponen elektrik milik Sarawak Energy Berhad yang berlaku di Sarawak membimbangkan dan menarik perhatian masyarakat.

Rata-rata orang ramai yang ditemui Suara Sarawak semalam menyatakan hukuman diberikan pihak berkuasa tidak setimpal dengan perbuatan mencuri elektrik dan percaya penambahan hukuman denda perlu untuk menyedarkan individu yang tidak bertanggungjawab itu.

Dayang Salina Awang Chek, 48, yang berasal dari Kota Samarahan berkata, kecurian elektrik adalah tidak adil kepada masyarakat yang membayar bil elektrik setiap bulan.

“Rumah yang menikmati elektrik secara percuma (mencuri) perlu diambil perhatian. Tindakan ini menguntungkan pelaku jenayah, namun merugikan orang lain,” jelasnya.

Menurut Havit Phillip, 22, yang masih menuntut di Unimas pula, pihak berkuasa perlu memperketatkan undang-undang dengan membuat rondaan setiap hari agar mereka takut untuk melakukan kesalahan jenayah.

“Pelaku vandalisme dan mencuri elektrik yang enggan membayar bil elektrik pada setiap bulan perlu dikenakan tindakan.

“Jika hukuman setimpal tidak dikenakan oleh pihak berkuasa, penjenayah akan lebih berani mencuri dan melakukan vandalisme,” tegasnya.

Sementara itu, Nurunaja Pusin, 22 yang bekerja sambilan di Lebuh India berkata, masih banyak individu mencuri kabel besi di pencawang elektrik kerana bernilai tinggi.

“Jangan berdiam diri jika melihat kes kecurian ini. Kita sepatutnya melaporkan hal ini kepada pihak berkuasa untuk tindakan sewajarnya,” katanya.

Beliau menambah, jika hukuman diberikan tidak memberi kesan kepada penjenayah, pihak berkuasa perlu menambah denda supaya takut melakukan jenayah itu lagi.

Aqilah Sukardi berbangsa Jawa dan menetap di Kampung Kolong menjelaskan, Sarawak Energy atau Sesco perlu menambah infrastruktur lengkap di pencawang elektrik seperti pagar elektrik dan pengawal keselamatan.

Manakala pelajar Ijazah Sarjana Muda UiTM Samarahan, Nuranisa Azurin berkata, sesetengah individu mencuri elektrik kerana kekurangan wang untuk menampung hidup seharian.

“Kita perlu mengadakan kempen kesedaran kepada masyarakat bahawa mencuri dan melakukan vandalisme mengundang padah dan bahaya seperti meragut nyawa dan dikenakan hukuman.

“Oleh itu, ibu bapa juga perlu memberi perhatian kepada anak-anak dan sering memantau pergerakan mereka serta memberi contoh terbaik supaya mereka tidak terjebak dalam jenayah ini,” jelasnya.

Sarawak mencatat kerugian RM5.43 juta sejak Januari 2017 sehingga Mei tahun ini, pada 2017 pula 135 kes yang mencatat kerugian RM3.3 juta dan pada 2018 mengalami kerugian RM1.07 juta.

Kementerian Untiliti memberitahu individu yang mencuri elektrik adalah jenayah di bawah seksyen 33(5) Ordinan Tenaga Elektrik yang akan membawa kepada hukuman denda sehingga RM100,000 atau hukuman penjara selama lima tahun.