
KUCHING: Klef bibir dan lelangit merupakan satu masalah kongenital yang memberi kesan kepada 500 hingga 700 kelahiran di negara Asia.
Susulan itu kata Pengarah Hospital Umum Sarawak (HUS) kata Dr. Ngian Hie Ling, bayi yang dilahirkan dengan klef berdepan dengan beberapa masalah.

“Mereka berkemungkinan berdepan masalah dari segi perubatan dan komplikasi yang memerlukan penglibatan padu pelbagai aspek kepakaran perubatan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam perasmian Kursus Penjagaan Klef dan Pembedahan Sarawak Ke-3 2022, di Auditorium HUS, di sini, hari ini.
Antara masalah dialami termasuk masalah pendengaran, kerosakan gigi serta masalah pertuturan yang boleh menjadi penghalang untuk mereka menjalani kehidupan dalam keadaan yang terbaik.
“Justeru, saya amat mengalu-alukan sebarang program, terutamanya berkaitan dengan kebajikan pesakit sama ada di peringkat premis kerajaan atau swasta,” jelasnya,
Beliau turut memuji kerjasama padu dalam kalangan pakar termasuk Pakar Bedah Plastik & Rekonstruktif, Doktor Pergigian Pediatrik, Jurupulih Pertuturan serta semua yang terlibat memastikan penjagaan klef dapat berjalan dengan lancar.
“Tidak lupa juga dengan Persatuan Klef Bibir dan Lelangit Malaysia (CLAPAM) atas sokongan terhadap program kami sejak pertama kali diadakan pada tahun 2018 sehingga kini,” katanya ringkas.