HARUS akui ada sedikit rasa cemburu dalam masyarakat apabila membaca berkaitan kereta api laju Indonesia iaitu dari Jakarta ke Bandung. Kereta api laju itu dijangka beroperasi pada tahun ini dan menjadi realiti dan kebanggaan buat Indonesia.
Dengan kelajuan maksimum mencapi 426 km/j, tempoh perjalanan dari Jakarta ke Bandung hanya memakan masa 46 minit. Malah, projek kereta api laju tidak berhenti di situ sahaja, projek fasa kedua iaitu Jakarta ke Surabaya sepanjang 700 km juga dijangka siap pada 2025.
Melihat kepada perkembangan itu, orang ramai impikan sistem pengangkutan awam yang serba hebat seperti yang terdapat di Indonesia, Jepun mahupun di United Kingdom. Selain mengurangkan kesesakan di jalan raya, ia menjimatkan wang serta masa, mengurangkan pengeluaran karbon daripada asap kereta selain menjamin keselamatan pengguna pengangkutan awam.
Sudah semestinya pengangkutan awam yang serba hebat ini lebih-lebih lagi dengan kecanggihan teknologi digunakan untuk beroperasi mendatangkan manfaat kepada orang ramai. Pun begitu, terdapat segelintir masyarakat tidak berapa berkenan dan tidak menerima idea dengan penggunaan pengangkutan awam.
Boleh dilihat di ruangan komen di media sosial berhubung pelaksaan projek Transit Aliran Autonomi (ART) Kuching mula dibina September ini. Ramai yang mencela, tidak kurang juga menghambur kata-kata tidak enak berhubung projek tersebut di media sosial walhal boleh pula memuji pula projek yang boleh dikatakan serupa dilaksanakan di negara-negara lain.
Malah, sumber terdekat penulis ada memberitahu, penduduk yang mendiami kawasan projek tidak bersetuju akan pelaksaan projek ART di tanah mereka. Alasannya, mereka lebih rela menggunakan kenderaan sendiri untuk bergerak dari titik A ke B berbanding menggunakan pengangkutan awam selain menyifatkan kenaikan harga barang ketika ini harus diberikan keutamaan berbanding projek ART misalnya. Wajar atau tidak projek ini dilaksanakan?
Sudah semestinya ia satu keperluan di kawasan Kuching yang padat, kira-kira 500,000 jiwa ditambah lagi dengan penduduk dari Samarahan berulang-alik bekerja di Bandar Raya Kuching. Boleh dikatakan kesesakan jalan raya masa kini di Kuching mahupun Samarahan hampir menyerupai keadaan di Lembah Klang, meskipun kesesakan dalam paras sederhana tetapi menempuhinya setiap hari amat memedihkan perasaan. Justeru, Seoul, Korea Selatan wajar dijadikan contoh dalam mengatasi kesesakan jalan raya dengan negara itu mengambil pendekatan memantapkan fasiliti pengangkutan awam mereka.
Era selepas perang, dengan migrasi penduduk luar masuk ke Seoul, boleh dikatakan penggunaan kenderaan di jalan raya mendadak ketika itu sekali gus mencetus kesesakan jalan raya. Walaupun kerajaan membina 10 hingga 12 lorong jalan raya, ia sama sekali tidak menyelesaikan masalah tersebut sebalik kesesakan kian bertambah sejajar dengan pertambahan jumlah kenderaan.
Maka, Kerajaan Korea Selatan memandang ke Barat dalam mencari solusi iaitu membina kereta api bawah tanah. Dari tahun ke tahun, pengangkutan awam di negara itu dipertingkatkan dan ditambah baik malah kerajaan juga membina lorong pejalan kaki dan lorong berbasikal dalam mengalakkan rakyatnya untuk kurang menggunakan kenderaan. Melihat perancangan kerajaan ketika ini dalam membangunkan ART, ia seharusnya diterima baik oleh masyarakat.
Ia bukan sahaja mempercepatkan pergerakan kita dari titik A ke B malah projek ART ini mempercepatkan produk-produk tanaman dari luar kawasan bandar terus di bawa ke bandar raya Kuching mahupun ke pelabuhan. Dalam masa yang sama, projek sedemikian juga merancakkan ekonomi setempat maka ia harus dimanfaat sepenuhnya oleh masyarakat.