KUCHING: Peruntukan projek di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP) sebanyak RM5 juta setahun, kini dianggap tidak relevan.
Ahli Dewan Undangan Negeri Kalaka Mohamad Duri berkata, peruntukan projek RTP perlu dipertingkatkan bagi mempercepat pertumbuhan ekonomi dan infrastruktur di kawasan sasaran.
Menurutnya, ia menjadi instrumen penting dalam mengubah landskap luar bandar secara berterusan.
“Sehubungan itu, kita memerlukan peruntukan RTP yang lebih banyak.
“Saya mencadangkan peruntukan RM5 juta ditingkatkan RM8 juta setahun,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan (2025) di Dewan Undangan Negeri, hari ini.
Jelasnya, tuntutan ini didorong peningkatan drastik kos pelaksanaan projek dan kadar upah.
“Pembinaan jambatan kecil, gelanggang futsal, jeti, naik taraf surau dan masjid, tidak lagi relevan dengan peruntukan RM200,000 hingga RM350,000. Sebaliknya, mencapai lebih RM500,000.
Menyentuh kenaikan gaji penjawat awam, Mohamad menyatakan ada kewajaran menambah sedikit elaun ketua masyarakat, ketua kaum dan setiausaha Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).
“Ini memandangkan mengikut definisi, paras kemiskinan kebangsaan antara RM980 hingga RM2,208, tergolong dalam berpendapatan rendah dan jatuh ke dalam kumpulan miskin tegar.
“Ini bermaksud imbuhan yang diterima mereka langsung tidak setimpal dengan tugas dan tanggungjawab,” tambahnya.
Beliau juga menyuarakan pandangan pesara yang mahu Kerajaan Sarawak mewujudkan program atau bantuan khas kepada mereka.

