Tinju Sarawak cari bakat baharu

BETONG: Majlis Sukan Negeri (MSN) Sarawak dan Persatuan Tinju Negeri Sarawak (SABA) dijangka turun ke Saratok, Betong seterusnya Sri Aman dalam misi mencari pucuk muda untuk dijadikan pasukan pelapis tinju di negeri ini pada masa hadapan.

Menurut jurucakap penganjur yang juga petinju profesional Sarawak Daeloniel Mcdelon, 20, jelajah pihaknya akan bermula minggu hadapan.

“Klinik tinju fasa pertama akan berada di Saratok iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bahasa Malaysia (BM) Saratok bermula 30 April sehingga 1 Mei sebelum ke Betong pada 2 Mei.

Antara lokasi yang dicadangkan SMK Datuk Patinggi Kedit dan SMK Saint Augustine.

“Sementara pada 3 Mei, jelajah diteruskan ke Bandar Benak yang mana klinik akan diadakan di perkarangan Dewan Suarah Sri Aman,” katanya kepada Suara Sarawak semalam.

Menurut pemenang pingat perak Sukan Malaysia (Sukma) 2018 itu, klinik dikendalikan oleh Koordinator Sukan Tinju MSN Arrolflyn Elvis Slie, dua jurulatih elit Sarawak Wilbur Andogan dan Helman Morni serta pemenang pingat gangsa Sukma 2018 Christyuden Ripoh dan beliau sendiri.

“Ini peluang keemasan bagi bakat-bakat muda yang berpotensi untuk diketengahkan.

“Sebab objektif utama klinik ini dianjurkan ialah untuk mencari bakat baharu untuk dijadikan pelapis masa depan sukan tinju di negeri ini seterusnya memilih atlet berbakat menyertai Sukma 2020.

“Selain itu, kita ingin menambah bilangan atlet tinju sedia ada supaya setiap kejohanan yang dianjurkan menjadi lebih meriah.

“Melalui klinik tersebut juga platform memperkenal sukan tinju kepada masyarakat,” ujarnya.

Justeru jelasnya, bagi yang berminat baik lelaki atau wanita yang berumur dalam lingkungan 14 ke 20 tahun boleh datang ke lokasi pada masa yang dinyatakan dengan menggunakan pakaian sukan dan berkasut.

“Kami mengharapkan pihak sekolah, ibu bapa, wakil-wakil rakyat supaya dapat memberi kerjasama baik bagi membangunkan sukan tinju dan anak-anak muda yang berbakat.

“Di Sarawak sebenarnya banyak atlet yang berbakat, tetapi disebabkan kurangnya pusat latihan maka susah bagi mereka menonjolkan diri seterusnya menyertai sukan tinju,” tambahnya.

Daeloniel menambah, kini hanya terdapat tiga atlet sukan tinju dari Betong pada masa ini.

Suara Sarawak