BINTULU: Presiden Parti Demokratik Progresif (PDP) Datuk Seri Tiong King Sing menyeru semua ahli parti agar menjadi contoh kepada masyarakat dan tidak sekadar menuruti trend popular atau terpengaruh dengan media sosial.
Tegas Tiong, PDP bukan sebuah parti yang hanya mengikut arus, sebaliknya berpegang teguh kepada prinsip dan memberi impak positif dalam pembangunan negara dan rakyat.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Ngiling Bidai Gawai Dayak 2025 anjuran PDP Jepak dan Samalaju di salah sebuah restoran di sini, pada Khamis.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya merangkap Ahli Parlimen Bintulu itu turut mengingatkan golongan muda, khususnya dalam kalangan ahli parti supaya bijak menilai maklumat daripada media sosial seperti TikTok dan Facebook, agar tidak mudah terpengaruh dengan kandungan yang tidak sahih.
Dalam era digital kini, katanya, tahap literasi maklumat sangat penting bagi memastikan generasi muda tidak mudah termakan manipulasi atau berita palsu.
Tiong turut menggesa ahli PDP agar kekal fokus memperjuangkan isu rakyat, memperkukuh parti, serta menyokong dasar pembangunan demi kesejahteraan bersama.
Beliau juga menekankan pentingnya memelihara perpaduan kaum dan keharmonian agama yang menjadi kekuatan unik di Malaysia, khususnya Sarawak.

