BINTULU: Nasib mangsa kebakaran di Rumah Jangi Jambai, Jalan Ulu Sebauh yang kehilangan tempat tinggal selepas kediaman mereka musnah dalam kebakaran Rabu lalu mendapat perhatian Ahli Parlimen Bintulu, Datuk Seri Tiong King Sing yang menyalurkan bantuan bakul makanan dan sumbangan tunai bagi meringankan beban mereka.
Bantuan tersebut disampaikan oleh Ketua Bahagian Parti Demokratik Progresif (PDP) N67 Jepak, Banyang dalam satu majlis penyerahan bantuan kepada keluarga yang terjejas pada Jumaat.
Menurut Banyang, sumbangan itu merupakan tanda keprihatinan dan komitmen berterusan Tiong dalam memastikan kebajikan rakyat yang ditimpa musibah sentiasa mendapat perhatian sewajarnya.
Katanya, kebakaran yang berlaku bukan sahaja menyebabkan mangsa kehilangan tempat tinggal, malah turut mengakibatkan kerugian harta benda serta menjejaskan kehidupan harian keluarga yang terlibat.
Tambah beliau, dalam situasi bencana seperti kebakaran, sokongan moral dan bantuan segera amat penting bagi membantu mangsa meneruskan kehidupan sementara menunggu proses pemulihan dilaksanakan.
Banyang turut berharap semua mangsa diberikan kekuatan dan ketabahan untuk menghadapi ujian tersebut serta dapat kembali menjalani kehidupan seperti biasa dalam masa terdekat.
Beliau juga berharap segala urusan berkaitan pemulihan dan pembinaan semula kediaman yang terjejas dapat dipermudah agar mangsa dapat menikmati tempat tinggal yang lebih selesa dan selamat.





