KOTA KINABALU: Isu pelancongan tidak seharusnya dipolitikkan sehingga menjejaskan negara dan golongan berpendapatan rendah yang bergantung pada aktiviti ekonomi berasaskan pelancongan, tegas Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing.
Menurut Tiong, kehadirannya di Sabah adalah untuk menjalankan tugas kementerian dan bukan berkempen atau terlibat dalam mana-mana program politik.
“Saya menerima banyak jemputan daripada badan bukan kerajaan (NGO) yang bimbang sektor pelancongan Sabah ketinggalan berbanding negeri lain.
“Kunjungan ke Sabah ini juga adalah sebahagian daripada siri lawatan kerja yang turut melibatkan Perak dan Genting sebelum ini,” katanya ketika ditemui pemberita, semalam.
Sehubungan itu, beliau berkata perkara tersebut tidak dapat dielakkan kerana NGO yang menjemputnya bertujuan membincangkan hala tuju pelancongan.
Namun, menurutnya, ada sesetengah pihak mengaitkan kehadirannya ke negeri itu dengan kempen politik.
“Saya datang sebagai menteri, jadi apabila orang politik bertanya sama ada menyokong atau tidak, jawapannya tetap menyokong kerana mereka kerajaan.
“Dakwaan yang mengatakan saya melanggar keputusan parti adalah tidak berasas kerana semua tindakan ini atas kapasiti kementerian,” jelasnya.
Di samping itu, Tiong berkata tumpuan kementerian kini terarah kepada persiapan Visit Malaysia 2026, termasuk memperkukuh kerjasama dengan industri bagi merancakkan pertumbuhan ekonomi sekali gus membantu kumpulan B40.
Mengenai pelancongan Sabah, beliau mengakui masih terdapat kelemahan dari segi perancangan dan promosi pada masa lalu.
Walau bagaimanapun, katanya, kemajuan hanya boleh dicapai dengan kestabilan politik.
“Sekiranya tiada kestabilan, tiada kesinambungan, ekonomi tidak boleh berkembang,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau memuji potensi budaya Sabah selepas melawat Mari-Mari Culture Village dan berkata tarikan itu hebat tetapi kurang dipromosikan.
Tambahnya, kerjasama yang lebih erat antara pengusaha dan kerajaan diperlukan untuk menarik lebih ramai pelancong antarabangsa.



