BINTULU: Ahli Parlimen Bintulu, Datuk Seri Tiong King Sing menzahirkan keprihatinan terhadap Ketua Bahagian Parti Demokratik Progresif (PDP) N.70 Samalaju, Hillary Mawan Antar, dengan menyumbangkan sebuah katil pesakit bagi membantu memudahkan urusan rawatan dan pemulihan beliau yang sedang berdepan masalah batu karang pada kedua-dua buah pinggang serta slip disc.
Sumbangan tersebut disampaikan oleh Ahli Majlis Tertinggi PDP, Saging Layang bersama Ketua Pemuda PDP N.69 Kemena, David Bedali dalam satu kunjungan ke kediaman Hillary pada Sabtu.
Hillary kini sedang menjalani rawatan dan memerlukan penjagaan yang lebih rapi serta kemudahan yang sesuai bagi memastikan proses pemulihan dapat berjalan dengan lebih selesa.
Menurut Saging, sumbangan itu mencerminkan keprihatinan berterusan Tiong terhadap kebajikan masyarakat, khususnya individu yang berdepan cabaran kesihatan dan memerlukan sokongan.
Beliau berharap sumbangan tersebut dapat memudahkan urusan harian Hillary selain memberikan keselesaan yang lebih baik sepanjang menjalani rawatan dan proses pemulihan.
“Walaupun sumbangan ini mungkin dilihat kecil, ia diharap mampu memberikan manfaat dan meringankan sedikit beban yang ditanggung penerima serta keluarga,” katanya.
Beliau berkata, sokongan seperti itu amat penting bagi membantu pesakit menjalani tempoh pemulihan dengan lebih tenang, di samping memberikan semangat kepada mereka untuk terus kuat menghadapi ujian kesihatan.
Saging turut mendoakan agar Hillary terus tabah menghadapi cabaran yang dilalui, dipermudahkan segala urusan rawatan serta dikurniakan kesembuhan.




