Siti Nurain Ratani
Tajuk: Enam Angka Menjelang Dua Puluh Lima
Penulis: Azraei Muhamad
Harga: RM28
Muka Surat: 212
GAYA penulisan buku ini boleh dikatakan sebagai buku panduan kewangan.
Bagaimanapun, cara penyampaian penulis tidak sama seperti kaedah formal di pasaran kerana ia lebih santai dan mesra terhadap mereka yang masih ingin menyimpan wang sejak belia.
Buku ini dipadatkan dengan tip dan panduan menyimpan wang untuk “orang biasa” tapi boleh membuat hasil luar biasa.
Cuma perlukan sedikit hati kental dan tekad terutama zaman pembelian dalam talian di hujung jari.
Buku ini hanya mencetuskan idea atau mungkin juga desakan kesedaran untuk lebih bersedia dengan kewangan peribadi.
Banyak sebenarnya alternatif lain menabung, jadi pembaca perlu pandai memilih.
KESEDARAN PENGURUSAN KEWANGAN
Buku ini menyedarkan pembaca bahawa bukan orang buat perniagaan mega sahaja boleh mencapai jumlah wang mencecah enam angka dalam akaun bank.
Orang makan gaji, memiliki pekerjaan biasa juga boleh, jika mereka berdisiplin dan konsisten dalam perancangan kewangan mereka.
Malah, perkara paling ditekankan oleh penulis ialah cara simpan dan labur.
Sememangnya buku ini unik sebab ilmu kewangan didedahkan lebih sesuai untuk diaplikasikan memandangkan ramai ketika ini masih bergelar pelajar atau punca pendapatan bergantung kepada ibu bapa.
Tetapi bagi pelajar yang mempunyai biasiswa atau Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), mereka disarankan membaca buku ini.
Penulis juga banyak menceritakan hal berkaitan menguruskan kewangan dari zaman belajar hingga bekerja dan menghadapi liku kehidupan yang sentiasa memerlukan duit.
Contohnya, bayar rumah sewa, hutang belajar, duit minyak, duit kahwin dan sebagainya.
Ada beberapa perkara penulis lakukan menarik minat pembaca sebenarnya seperti menabung setiap hari dan melabur duit simpanan tersebut dalam akaun Amanah Saham Bumiputera (ASB) supaya duit itu “beranak pinak”.
Selain itu, penulis berkongsi tip jutawan Hong Kong Li Ka-Shing.
Tip ini menarik memandangkan mengulas berkaitan “ke mana duit kita pergi” dan mengelakkan pembaziran.
Tip membahagikan pendapatan kepada lima bahagian iaitu kos sara hidup, rangkaian, belajar, melancong, simpanan dan pelaburan.
Dalam buku ini juga menceritakan tentang pengalaman penulis dalam merealisasikan simpanan RM100,000 pada usia 25 tahun.
Justeru, mulalah menyimpan pada usia muda, tapi bagi mereka yang terlambat mungkin ia boleh dilaksanakan untuk anak-anak mereka.
Seterusnya, berbelanja mengikut kemampuan atau kurang daripada gaji diterima, malah disarankan mengaplikasikan konsep kehendak atau keperluan. Jika pendapatan RM1,000 sebulan, maka berbelanja seperti orang yang gajinya RM1,000, bukannya RM10,000.
SIMPANAN PELABURAN
Penulis mencadangkan orang ramai untuk memulakan pelaburan setelah simpanan mencukupi.
Bagi calon SPM tahun ini, dah boleh mulakan baca buku kewangan seperti ini untuk panduan kewangan masa depan seperti yang dilakukan oleh penulis.
Kita tidak tahu ada rezeki mereka untuk menyimpan enam angka dalam tempoh enam tahun selepas SPM.
Banyak isi penting dan tip boleh dijadikan panduan bagi mereka yang mahu mencapai kecemerlangan kewangan ketika usia masih muda.
Bagaimanapun, penulis mengaku tidak semua kejayaan menabungnya datang daripada usaha sendiri.
Ujarnya, ibu bapa celik dan sedar pentingnya perancangan kewangan juga memainkan peranan.