SIBU: Seorang lelaki tempatan yang disyaki terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah ditahan polis selepas ditemui memiliki sejumlah besar syabu dalam satu operasi di Jalan Hua Kiew pada Khamis (5 Jun).
Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Zulkipli Suhaili berkata, suspek berusia 29 tahun ditahan kira-kira jam 1.30 petang oleh sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sibu.
“Hasil pemeriksaan membawa kepada penemuan 46 paket plastik mengandungi bahan kristal dipercayai syabu seberat 60.30 gram.
Nilai anggaran pasaran dadah itu mencecah RM12,060,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat (6 Jun).
Selain dadah, polis turut menyita sebuah kenderaan jenis Perodua Bezza milik suspek yang dianggarkan bernilai RM30,000.
Ujian awal saringan air kencing mendapati suspek positif methamphetamine dan amphetamine, bagaimanapun siasatan lanjut mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.
Suspek direman bagi siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan, serta Seksyen 15(1)(a) akta sama berkaitan penyalahgunaan dadah.
Sekiranya disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(a), individu boleh dikenakan denda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun, selain pengawasan mandatori dua tahun mengikut Seksyen 38B.
Zulkipli turut memberi amaran bahawa pihaknya akan terus memperhebatkan usaha memerangi jenayah berkaitan dadah di Sibu dan menyeru orang awam supaya menyalurkan maklumat dengan menghubungi Talian Hotline Narkotik di 012-2087222.
“Kerjasama masyarakat amat penting dalam usaha membanteras penyalahgunaan dan pengedaran dadah di kawasan ini,” katanya.



