ARTIKEL

CLARENCE Ting

Tragedi kanak-kanak maut jatuh dalam lubang pembetung: PBT nilai semula tahap keselamatan infrastruktur awam

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

SIBU: Tragedi menyayat hati yang meragut nyawa seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun akibat terjatuh ke dalam lubang pembetung tidak bertutup di Jalan Dr Wong Soon Kai pada lewat petang Isnin, mendorong tindakan pantas pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk menilai semula tahap keselamatan infrastruktur awam di kawasan berkenaan.

Majlis Perbandaran Sibu (MPS) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) kini mengadakan perbincangan bagi mencari penyelesaian jangka panjang berkaitan isu kehilangan penutup pembetung yang berlarutan sejak sekian lama.

Menurut Pengerusi MPS, Kaunselor Clarence Ting Ing Horh semasa dihubungi hari ini (Selasa), berkata walaupun sistem perparitan terletak di bawah bidang kuasa JPS, isu keselamatan awam adalah tanggungjawab bersama.

Beliau menekankan bahawa sebarang kehilangan nyawa akibat kecuaian seperti ini tidak boleh diterima.

“MPS mempunyai pasukan khas, iaitu SMC SERVE, untuk bertindak segera terhadap laporan kerosakan atau bahaya di kawasan awam.

“Kami akan terus bekerjasama dengan JPS untuk memastikan insiden sebegini tidak berulang,” katanya.

Sementara itu, Jurutera Bahagian JPS Sibu, Rudi Abang Zamhari menjelaskan bahawa pihaknya mengambil langkah awal dengan meletakkan pita amaran di kawasan kejadian dan mengadakan komunikasi aktif dengan pihak MPS bagi merancang langkah susulan.

“Longkang kami menggunakan sistem jubin dan penutup pembetung bersaiz besar. Apabila berlaku kehilangan penutup, ia menjadi risiko yang amat serius. Kita sedang meneliti mekanisme kawalan keselamatan dan pemantauan baharu,” katanya.

Sementara itu, difahamkan terdapat sekurang-kurangnya lima lubang pembetung yang tidak bertutup dalam jarak 50 meter dari lokasi kejadian.

Dalam cubaan mengurangkan risiko kepada orang awam, beberapa lubang berkenaan hanya ditutup dengan bampar kereta terpakai sebagai tanda amaran sementara.

Difahamkan menurut sumber yang boleh dipercayai mangsa yang dikenali sebagai Ehthin Ling keluar dari kereta untuk mencari bapanya yang sedang mengutip barangan terpakai, sebelum terjatuh ke dalam lubang pembetung yang terbuka.

Mangsa ditemui terapung oleh pihak bomba pada 6.55 petang, kira-kira setengah jam selepas laporan kecemasan diterima.

Kanak-kanak itu disahkan meninggal dunia oleh petugas paramedik di lokasi kejadian.

Namun, sehingga berita ini ditulis lewat petang ini, pihak polis masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berkenaan insiden tersebut.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU