Tragedi kebakaran rumah PPRT Semop, Ahli Parlimen Tanjung Manis hulur sumbangan

DARO: Ahli Parlimen P.206 Tanjung Manis menghulurkan sumbangan bagi meringan beban keluarga mangsa kebakaran rumah PPRT di Kampung Semop.

Sumbangan itu akan dihantar menerusi pegawai khas beliau esok.

Yusuf ketika dihubungi meluahkan perasaan simpati terhadap mangsa.

“Sumbangan yang saya hulurkan bertujuan meringankan beban mangsa. Kita juga akan mengkaji untuk membantu membina dan membaiki semula kediaman yang musnah itu.

“Saya berharap semua mangsa bersabar dengan musibah yang menimpa mereka, katanya kepada wartawan Suara Sarawak.

Dalam kejadian itu, enam sekeluarga tinggal sehelai sepinggang apabila rumah PPRT yang didiami mereka musnah.

Pusat Operasi Gerakan Bomba Sarawak memberitahu, insiden kira-kira 3.20 petang itu nyaris meranapkan sebuah lagi rumah yang berhampiran.

Bagaimana pun kediaman kedua yang didiami tujuh penghuni hanya terbakar 10 peratus dan berjaya dipadamkan oleh penduduk kampung.

“Kesemua penghuni rumah ini terselamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya

Menurut jurucakap itu, penduduk kampung memadam api dengan menggunakan air sungai yang dipam dari kapal ikan.

Katanya, Bomba bergegas ke tempat kejadian sejurus menerima panggilan pada 3.31 petang.