KUCHING: Tragedi renjatan elektrik yang meragut nyawa seorang pelajar menjadi peringatan kepada semua pihak akan pentingnya pematuhan aspek keselamatan termasuk sistem pendawaian elektrik di premis pendidikan dan kediaman.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Sri Fatimah Abdullah berkata, kementeriannya sentiasa mengingatkan pengusaha taska, tadika serta tenaga pengajar supaya meletakkan keselamatan sebagai keutamaan dalam pengurusan kanak-kanak dan pelajar.
“Keselamatan sentiasa menjadi perkara nombor satu, sama ada dari segi fizikal tempat kanak-kanak mahupun aspek pengasuh dan pendidik kerana semua itu mempunyai risiko tersendiri.
“Perkara sama turut terpakai di sekolah rendah, sekolah menengah dan asrama yang mempunyai prosedur operasi standard (SOP) keselamatan tersendiri.
“Bagaimanapun tragedi tersebut menunjukkan masih terdapat kelemahan tertentu yang perlu diberi perhatian serius oleh semua pihak,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Bulanan Jawatankuasa Khas Status Kewarganegaraan Perkara 15A Perlembagaan Persekutuan Peringkat Sarawak, di sini, hari ini.
Beliau mengulas tragedi seorang pelajar tingkatan empat maut, manakala seorang pelajar tingkatan tiga parah selepas dipercayai terkena renjatan elektrik ketika mengambil wuduk di sebuah sekolah menengah di Daro, Mukah.
“Jika pendawaian sudah lama, sama ada di rumah panjang, rumah sendiri ataupun sekolah, ia perlu diganti kerana dibimbangi berlaku litar pintas dan sebagainya,” jelasnya.
Menurutnya, masyarakat kadangkala terlalu selesa sehingga terlepas pandang perkara berkaitan keselamatan, sedangkan aspek tersebut perlu diberikan perhatian setiap hari.
“Ini sangat menyedihkan dan saya percaya siasatan masih dijalankan sama ada oleh pihak sekolah ataupun pihak polis,” tambahnya.
Dalam kejadian pada malam Rabu lalu, seramai tiga pelajar lelaki berada di kawasan mengambil wuduk, dengan mangsa berusia 16 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, seorang dirujuk ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sibu, manakala seorang lagi tidak mengalami sebarang kecederaan.
Sementara itu, Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak dalam kenyataan memberitahu, pihaknya sudah memulakan siasatan dalaman bagi meneliti pematuhan aspek keselamatan sekolah berkenaan dengan kawasan kejadian kini ditutup.



