Tahun 2003 kekal terpahat dalam sejarah peribadi keluarga kami.
Saya masih ingat lagi ketika itu saya sedang mengayuh basikal pulang dari sekolah menengah di Jalan Itol, Daro.
Petang itu, saya disambut dengan khabar buruk apabila bot yang dinaiki bapa saudara saya, Jamali Kadir atau lebih dikenali sebagai Udak Mali, bersama-sama anak, isteri dan nenek dikhabarkan karam di tengah laut, iaitu di perairan yang dikenali sebagai Tugik Bubus.
Udak Mali yang juga seorang pendidik ialah insan yang jiwanya sudah sebati dengan masin air laut. Namun, sehebat mana pun seorang pelaut, alam tetap mempunyai rahsia yang tidak mampu diramal.
Perjalanan dari Kampung Betanak menuju pulang ke Kampung Baru, Daro bertukar menjadi mimpi ngeri sebaik sahaja mereka melintasi tanjung Tugik Bubus.
Tiba-tiba angin bertiup kencang. Laut yang tenang berubah menjadi gelora yang mengganas. Enjin bot pula tiba-tiba mati — satu kegagalan mekanikal pada saat paling kritikal.
Tanpa kuasa tujahan, bot itu menjadi seperti sekeping sabun yang dipermainkan dalam lautan bergelora. Angin kencang terus menghanyutkan bot ke arah tebing yang sunyi dan tidak berpenghuni.
Sebaik sahaja tiba di tebing, bot itu mula tenggelam perlahan-lahan. Dengan kudrat seorang ayah, Udak Mali menyambar anakanaknya dan mengangkat mereka ke atas tebing yang dipenuhi semak samun demi memastikan mereka tidak disedut ke dasar laut.
KEAJAIBAN DALAM BEG TANGAN
Bayangkan situasi itu. Matahari kian melabuh ke ufuk barat. Di hadapan mereka terbentang hutan semak yang tebal dan sukar ditembusi, manakala di belakang pula ialah laut yang masih mengamuk.
Mereka terdampar tanpa bekalan makanan, tanpa air bersih dan bakal berhadapan dengan kegelapan malam serta serangan nyamuk hutan yang rakus.
Segala harta benda pula tenggelam ke dasar laut. Dalam tangisan yang pecah, isteri Udak Mali menjerit, “Bang! Beg tangan saya!” Di celah-celah barang yang karam, hanya beg tangan itu yang timbul di permukaan air.
Di dalamnya tersimpan telefon jenama “Ringo” yang dibungkus kemas dengan plastik. Udak Mali menghidupkan telefon itu dengan tangan yang menggigil.
Isyarat telefon sekejap ada, sekejap hilang. Namun, apabila angin sedikit reda, isyarat telefon menunjukkan tiga bar. Itulah talian hayat mereka.
Panggilan segera dibuat kepada keluarga di rumah dan sebelum malam benar-benar gelap, sepasukan anggota polis tiba untuk menyelamatkan mereka.
Setibanya di rumah, malam itu menjadi saksi kepada sebuah kesunyian yang perit.
Matanya enggan terpejam, manakala esak tangis anak-anak masih kedengaran — mereka meratapi kehilangan barangbarang yang kini bersemadi di dasar laut. Sayu hati Udak Mali melihat wajah-wajah kecil itu.
Walaupun rumah dipenuhi jiran tetangga yang datang bertanya khabar, lidah beliau seakan-akan terkunci. Beliau kelu; trauma itu terlalu berat untuk diterjemahkan dengan kata-kata pada waktu tersebut.
“Apabila sudah sampai di rumah, malam itu saya langsung tidak dapat melelapkan mata. Hati terasa sangat sayu melihat keadaan anak-anak yang masih menangis kerana teringat akan barang-barang mereka yang sudah tenggelam ke dasar laut.
“Ramai jiran tetangga datang ke rumah malam itu untuk bertanya khabar, tetapi saya tidak mampu membuka mulut. Lidah terasa kelu, tidak tahu bagaimana hendak memulakan cerita tentang detik cemas yang kami lalui,” kongsinya. Ternyata, parut itu sangat dalam.
Selama dua tahun berikutnya, anak-anak Udak Mali dihantui fobia. Biarpun sekadar menaiki bot ekspres yang besar dan stabil, tangisan mereka pasti pecah setiap kali terpandang hamparan laut.
“Rupanya, trauma itu bukan seketika. Selama dua tahun anakanak saya menjadi fobia. Pantang nampak laut, mereka akan menangis ketakutan walaupun pada masa itu kami menaiki bot ekspres yang besar.
“Sekarang, apabila memandang kawasan Tugik Bubus yang cantik itu, perkara yang terbayang hanyalah kenangan pahit yang tidak akan kami lupakan sampai bila-bila,” kongsinya.
Panorama Tugik Bubus yang dahulunya indah kini hanya tinggal sebagai sebuah naskhah kenangan pahit yang tidak mungkin luput daripada ingatan.
MEMORI REZEKI DI SEBALIK TRAGEDI
Namun, sejarah Udak Mali dengan Tugik Bubus tidak selalunya suram. Di sebalik kengerian tersebut, Tugik Balau — lokasi berhampiran yang terkenal sebagai kawasan hitam tragedi bot karam turut menyimpan memori manis tentang kelangsungan hidup pada zaman persekolahan.
Di situlah mereka dahulu mencari rezeki. Hutan di sekitarnya sangat murah hati dengan hasil alam seperti buah raba, buah nyabung, ikan puyu, dan ikan haruan.
Paling ikonik ialah pencarian umbut palas atau tajok nyiuk (sebutan dalam bahasa Melanau Daro).
Udak Mali mengimbas kembali kenangan menggalas bakul yang penuh dengan umbut palas sambil berjalan kaki dari Kampung Baru, Daro hingga ke Kampung Pancor sambil melaungkan jualan, “Tajok… tajok… meley melo ui…” (umbut palas… umbut palas… mari membeli…).
Menurutnya, dahulu seikat umbut palas yang mengandungi lima batang hanya berharga 20 sen.
Hasil jualan itulah yang digunakan untuk membayar tambang perahu dan wang saku sekolah. Kini, selepas lebih dua dekad, Tugik Bubus masih kekal dengan panoramanya yang indah tetapi menggerunkan.
Kawasan itu menjadi peringatan kepada warga Daro bahawa laut merupakan sumber rezeki, namun tetap menuntut penghormatan yang tinggi.
Alhamdulillah, Allah masih menyayangi keluarga Udak Mali dengan memberikan mereka peluang kedua untuk terus bernafas dan menceritakan betapa besarnya kekuasaanNya di tengah-tengah amukan gelombang.
Semoga kisah ini menjadi pengajaran kepada kita semua agar menghargai setiap detik bersama-sama keluarga kerana dalam sekelip mata, segalanya boleh berubah menjadi kenangan.



