TRANSFORMASI entiti syarikat milik Kerajaan Sarawak (SOE) kini memasuki fasa pelaksanaan.
Strategi telah dirangka, ruang penambahbaikan dikenal pasti dan komitmen dinyatakan.
Kini, semuanya perlu diterjemahkan kepada hasil yang boleh diukur.
Itulah mesej utama Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, dalam ucapannya pada Program Transformasi SOE Sarawak — Fasa 2 di Hotel Hilton, Kuching, pada 22 September 2026.
Perjalanan yang bermula menerusi majlis pertama pada Jun lalu memperlihatkan potensi besar untuk meningkatkan prestasi entiti negeri.
Syaratnya ialah penilaian yang jujur, sasaran yang jelas dan kesediaan mencabar kaedah kerja sedia ada.
Fasa satu mengunjurkan pengurangan keperluan geran operasi kira-kira RM403 juta menjelang 2030, dengan lebih 50 peratus entiti yang dinilai dijangka mampu berdikari dari segi kewangan.
Dapatan itu memberikan keyakinan kepada Premier untuk memperluas transformasi melangkaui kumpulan pertama yang melibatkan 36 entiti.
Fasa dua kemudian merangkumi 32 lagi badan berkanun dan syarikat berkaitan kerajaan merentas 17 sektor.
Masing-masing mempunyai mandat, model perniagaan dan cabaran berbeza, tetapi memikul tanggungjawab bersama — mencipta nilai yang lebih besar dan menjana lebih banyak hasil untuk Sarawak serta rakyatnya.
Besarnya tanggungjawab itu dapat dilihat melalui rangkaian syarikat di bawah Kerajaan Negeri dan badan berkanunnya.
Berdasarkan pecahan dalam Laporan Ketua Audit Negara 1/2026 bagi Negeri Sarawak, senarai pewartaan pada 1 November 2024 merangkumi 76 syarikat di bawah Setiausaha Kewangan Negeri (SFS), sembilan di bawah Jabatan Premier Sarawak dan 109 di bawah badan berkanun negeri.
Jumlah bagi ketiga-tiga kategori tersebut ialah 194 syarikat.
Angka ini menggambarkan skala rangkaian korporat negeri dalam rekod berkenaan, manakala penyertaan dalam program transformasi melibatkankumpulan entiti yang dinyatakan bagi setiap fasa.
Dalam mengemudi rangkaian sebesar ini, Abang Johari mahu entiti komersial merekodkan keuntungan dan mencapai sasaran.
Bagi entiti yang memikul tanggungjawab pendidikan, pembangunan modal insan dan perkhidmatan awam pula, pembiayaan kerajaan masih diperlukan, dengan hasil yang jelas serta boleh diukur.
Atas asas itu, beliau mahu SOE Sarawak lebih cergas dan proaktif.
Perancangan mesti bergerak kepada pelaksanaan yang mampu menjana pendapatan, memperbaik prestasi dan memberikan manfaat kepada rakyat.
Ketegasannya tertumpu pada perubahan yang nyata.
Ikrar dan playbook tidak seharusnya berakhir sebagai dokumen semata-mata.
Justeru, 100 hari pertama selepas ikrar menjadi tempoh penting untuk menunjukkan bukti perubahan.
Entiti perlu memulakan tindakan segera terhadap perkara yang boleh dilaksanakan, tanpa terus menunggu kajian baharu.
Tumpuannya termasuk menangani anak syarikat yang tidak aktif, perniagaan berprestasi rendah, pertindihan fungsi, penggunaan aset yang kurang optimum, kelemahan bakat serta kekurangan dalam penerapan teknologi.
Transformasi yang diumumkan perlu menyelesaikan masalah organisasi yang telah dikenal pasti.
Hala tuju dan ruang penambahbaikan sudah tersedia; kepimpinan SOE kini dituntut membuktikan hasilnya.
Premier juga mahu aset kerajaan menghasilkan nilai yang lebih besar.
SOE komersial perlu meningkatkan hasil, keuntungan dan dividen, di samping mengurangkan kebergantungan yang tidak perlu kepada kerajaan.
Dana awam pula mesti digunakan dengan tujuan yang jelas dan menghasilkan manfaat yang dapat dinilai.
Tanggungjawab pelaksanaan diletakkan terus pada lembaga pengarah, ketua pegawai eksekutif dan pengurus besar.
Mereka perlu memikul tanggungjawab bersama untuk memastikan transformasi bergerak daripada komitmen kepada pencapaian.
Pada masa yang sama, kementerian dan agensi mesti membantu menyelesaikan halangan dasar atau kawal selia yang berada di luar kuasa syarikat.
Langkah ini turut bertujuan mempersiapkan SOE untuk menyokong ekonomi masa hadapan Sarawak.
Entiti negeri perlu memiliki dinamisme dan kesungguhan seperti syarikat swasta, serta meningkatkan daya saing dalam sektor yang berubah pantas, termasuk tenaga, penerbangan, pertanian, pendidikan dan ekonomi digital.
Kerjasama, penstrukturan semula dan penggunaan kecerdasan buatan (AI) menjadi antara langkah untuk membina keupayaan tersebut.
Potensi kewangan yang digariskan bagi fasa dua memberikan ukuran jelas tentang besarnya hasil yang ingin dicapai.
Menurut Abang Johari, inisiatif fasa ini diunjurkan menjana hasil tambahan RM9.62 bilion menjelang 2030, Keuntungan Selepas Cukai Terlaras tambahan RM1.6 bilion serta dividen kirakira RM1.27 bilion bagi tempoh 2027–2030.
Namun, angka tersebut masih unjuran, bukannya pencapaian.
Setiap entiti perlu menyumbang untuk merealisasikannya, dengan kepimpinan masing-masing bertanggungjawab terhadap pelaksanaan.
Bagi SOE komersial, keupayaan berdikari memerlukan usaha meningkatkan hasil, mengawal kos, mengoptimumkan aset dan menghasilkan pulangan.
Kebergantungan kepada kerajaan perlu dikurangkan apabila ia tidak lagi wajar.
Pembiayaan untuk pendidikan, pembangunan modal insan dan perkhidmatan awam pula tetap mempunyai tempatnya.
Yang dituntut ialah kejelasan hasil dan keupayaan mengukur manfaat daripada pembiayaan tersebut.
Penstrukturan semula juga perlu dipertimbangkan bagi entiti dan anak syarikat yang tidak lagi berkesan.
Pertindihan fungsi mesti ditangani, begitu juga anak syarikat tidak aktif dan perniagaan yang terus mencatat prestasi rendah.
Pilihannya termasuk penyatuan, penggabungan, pelupusan pegangan atau penggulungan jika perlu.
Setiap keputusan mesti berpandukan kepentingan strategik dan penilaian yang teliti.
Dalam bidang teknologi, Premier mahu penggunaan AI dan pembangunan bakat diperkukuh kerana kedua-duanya masih ketinggalan.
Ketika penilaian dijalankan, hanya 38 peratus entiti mempunyai inisiatif digital dan AI yang telah diterapkan atau sedang dilaksanakan.
Tahap kematangan bakat pula mencatat purata hanya 1.4 daripada lima mata. Keadaan ini mendorong beliau menuntut penerapan teknologi yang lebih pantas, sementara pembangunan tenaga kerja perlu dijadikan pelaburan strategik.
Penekanan itu seiring dengan pandangan Setiausaha Kewangan Negeri, Dato Sri Dr Wan Lizozman Wan Omar, bahawa transformasi SOE mesti menjadi amalan pengurusan dan tadbir urus yang berterusan.
Asasnya ialah strategi yang boleh dilaksanakan, maklumat yang boleh dipercayai dan hasil yang boleh diukur.
Menurut beliau, 183 strategi dan 592 inisiatif yang digariskan menerusi fasa dua perlu diterjemahkan kepada hasil.
Cabaran utamanya bukan kekurangan idea, tetapi memastikan setiap strategi mempunyai keutamaan yang jelas,asas kewangan yang kukuh dan pemantauan berkesan.
Dalam penyediaan program ini, pihaknya telah mengesan kelemahan struktur dan pengurusan yang menjejaskan prestasi SOE.
Penilaian mengenal pasti jurang bakat, kekurangan keupayaan pengurusan, model perniagaan lapuk, pertindihan fungsi dan sinergi yang lemah.
Dalam entiti tertentu, pulangan atas modal serta sumbangan dividen kepada pemegang saham juga masih rendah.
Pada masa yang sama, maklumat kewangan dan asas membuat keputusan perlu diperkukuh.
Masih terdapat maklumat kewangan yang perlu diselaraskan dengan akaun beraudit, unjuran aliran tunai yang kurang sejajar dengan andaian hasil dan perbelanjaan serta maklumat sasaran masa hadapan yang belum lengkap.
Wan Lizozman menegaskan, kelemahan ini merupakan isu tadbir urus, bukan sekadar masalah teknikal.
Sehubungan itu, mandat, pelaburan dan pembiayaan kerajaan perlu dinilai semula.
Peranan kawal selia, operasi dan komersial mesti diperjelas supaya tanggungjawab setiap entiti dapat ditentukan dengan lebih tepat.
Pelaburan dan anak syarikat yang tidak lagi memberikan nilai pula perlu dinilai untuk penyatuan, rasionalisasi atau penumpuan semula.
Geran kerajaan mesti menghasilkan manfaat yang setimpal.
Fi dan tarif yang lama tidak disemak juga perlu dinilai bagi memastikan kemampanan kewangan entiti.
Transformasi ini akhirnya perlu menjadi sistem yang tetap, dengan akauntabiliti yang jelas.
Buku Panduan Transformasi SOE, playbook setiap entiti dan dokumen ikrar akan menghubungkan hala tuju kerajaan dengan tanggungjawab lembaga pengarah serta pengurusan.
Pelaksanaannya dipantau melalui e-SOEs dan Papan Pemuka Prestasi SOE, sementara setiap isu perlu dibawa kepada peringkat pembuat keputusan yang sesuai.
Jika dilaksanakan dengan baik, transformasi ini berpotensi meningkatkan keupayaan ekonomi Sarawak dan membawa syarikat negeri ke tahap yang lebih tinggi.
Keupayaan yang dibina itu juga dapat menyediakan mereka untuk bersaing di pentas global serta meneroka pasaran yang lebih besar.


