KUCHING: Transformasi pesat yang dinikmati Sarawak hari ini menjadi bukti keberkesanan kepimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS), sekali gus menepis dakwaan pihak pembangkang bahawa negeri ini tidak berada pada landasan yang betul.
Timbalan Premier Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian berkata, pencapaian yang dikecapi Sarawak ketika ini jauh lebih baik berbanding keadaan pada 2011 ketika Parti Tindakan Demokratik (DAP) menguasai 12 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Menurut beliau, perubahan ketara dapat dilihat melalui kemajuan pembangunan serta peningkatan hasil negeri yang membolehkan pelbagai inisiatif rakyat dilaksanakan.
“Pada 2011, roket (DAP) menang 12 kerusi. Adakah Sarawak pada 2011 lebih baik atau Sarawak pada 2026 hari ini lebih baik?
“Sekarang hanya tinggal dua kerusi roket. Sarawak kita jauh lebih baik berbanding pada 2011. Mengapa? Kerana kepimpinan berubah. Ia tidak lagi seperti dahulu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada sambutan ulang tahun ke-67 Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Kuching, malam tadi.
Beliau yang juga Presiden SUPP berkata, pembangkang gagal menyesuaikan diri dengan perubahan dan transformasi yang dilaksanakan di bawah pentadbiran GPS.
“Antara pencapaian utama Sarawak ialah pelaksanaan Cukai Jualan Negeri (SST) ke atas produk petroleum yang menjadi antara sumber penting kepada hasil Sarawak,”ujarnya.
Tambah beliau, walaupun DAP Sarawak sebelum ini menentang pelaksanaan cukai berkenaan pada 2019, hasil yang diperoleh kini digunakan untuk membiayai pelbagai inisiatif termasuk Skim Pendidikan Tinggi Percuma (FTES) serta memperluas bantuan sosial kepada rakyat.
Mengulas Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang, beliau berkata rakyat perlu membuat penilaian berdasarkan rekod pencapaian parti politik, bukannya dipengaruhi retorik semata-mata.
Tegasnya, hanya kepimpinan yang berupaya melaksanakan dasar dan membawa hasil nyata akan terus memastikan pembangunan Sarawak berada di landasan kukuh.


