ARTIKEL

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah (tiga dari kanan) dan Premier Sarawak (tiga dari kiri) pada Konvensyen Dakwah Antarabangsa 2026 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), hari ini | Foto: Pejabat Premier Sarawak

Transformasi Wakaf Penting Agar Terus Relevan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUALA LUMPUR: Institusi wakaf perlu diiktiraf sebagai instrumen strategik pembangunan sosioekonomi mampan, bukan lagi sekadar institusi kebajikan, kata Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Beliau berkata, institusi wakaf perlu ditransformasikan dari segi pengurusan, pembangunan dan pemanfaatan agar terus relevan dalam memenuhi keperluan semasa tanpa mengabaikan nilai-nilai Islam yang menjadi terasnya.

Rakam kenangan…Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah (duduk, tengah) dan Premier Sarawak (duduk, empat dari kiri) merakamkan gambar kenangan pada Konvensyen Dakwah Antarabangsa 2026 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), hari ini | Foto: Pejabat Premier Sarawak

“Dunia hari ini melalui perubahan besar apabila kecerdasan buatan (AI) mengubah landskap industri, teknologi digital mentakrifkan semula ekonomi, perubahan iklim menguji daya tahan masyarakat, manakala perubahan demografi, cabaran kesihatan global dan jurang sosioekonomi yang semakin melebar menuntut pendekatan baharu ke atas pembangunan.

“Realiti ini menuntut kita bertanya; bagaimana prinsip wakaf yang bersifat kekal mampu terus berkhidmat kepada manusia dalam dunia yang berubah dengan begitu pantas.

“Jawapannya bukan dengan mengubah falsafah wakaf, tetapi dengan mentransformasikan cara ia diurus, dibangunkan dan dimanfaatkan agar memenuhi keperluan semasa tanpa mengabaikan nilai-nilai Islam yang menjadi terasnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Konvensyen Dakwah Antarabangsa 2026 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), hari ini.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan berangkat merasmikan konvensyen berkenaan.

Abang Johari yang juga Yang Dipertua Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) berkata, ekosistem wakaf yang diurus secara berkesan berpotensi melengkapi perbelanjaan kerajaan, menggerakkan filantropi sektor swasta serta menjana sumber yang mampan.

“Ini bagi menyokong pelbagai sektor termasuk pendidikan, penjagaan kesihatan, keusahawanan, penyediaan perumahan mampu milik, pemuliharaan alam sekitar, bantuan kemanusiaan dan usaha memperkukuh daya tahan komuniti.

“Dalam konteks ini, wakaf bukan sahaja menyumbang kepada pembangunan ekonomi, malah memainkan peranan penting dalam memperkukuh keadilan sosial, menggalakkan pertumbuhan yang inklusif serta mewujudkan kemakmuran bersama,” ujarnya.

Beliau berkata, falsafah wakaf turut mengingatkan bahawa kemakmuran tidak seharusnya dilihat sebagai pencapaian individu semata-mata kerana setiap kekayaan datang bersama tanggungjawab terhadap masyarakat.

Jelasnya, prinsip itu selaras dengan konsep amanah dalam Islam yang meletakkan setiap bentuk harta, ilmu dan kemampuan sebagai amanah yang perlu dimanfaatkan secara bertanggungjawab.

BERITA LAIN

Politik Semenanjung tidak jejas GPS – Abdul Karim

KUCHING: Pergolakan politik di Semenanjung Malaysia dijangka tidak menjejaskan landskap politik Sarawak menjelang Pilihan Raya Umum Sarawak Ke-13 (PRU-13), dengan perpaduan rakyat dan agenda pembangunan

BERITA TERBARU

Politik Semenanjung tidak jejas GPS – Abdul Karim

KUCHING: Pergolakan politik di Semenanjung Malaysia dijangka tidak menjejaskan landskap politik Sarawak menjelang Pilihan Raya Umum Sarawak Ke-13 (PRU-13), dengan perpaduan rakyat dan agenda pembangunan