ARTIKEL

Trauma kolektif

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

Dalam dua bulan ini, saya banyak membaca buku sejarah terutama tentang sejarah China dan pendudukan Jepun.

Sejarah China tidak asing bagi saya, kerana ketika melanjutkan pelajaran di USM puluhan tahun lalu, sejarah China merupakan antara subjek utama yang saya ikuti.

Minat terhadap China, termasuk sejarahnya kembali bersemarak selepas mengunjungi negara 1.4 bilion penduduk itu sekitar sebulan lalu.

Keempat-empat karya yang saya baca dengan penuh minat dalam sebulan ini ialahThe Japanese Occupation of Malaya oleh Paul H. Kratoska, The Comfort Women of Singapore in History and Memory oleh Kevin Blackburn, The Cultural Revolution: A People’s History 1962-1976 oleh Frank Dikötter, dan The Killing Season: A History of the Indonesian Massacres, 1965-66 oleh Geoffrey B. Robinson. 

Buku berkenaan membentuk satu rangka naratif yang kuat tentang keganasan negara, trauma kolektif, dan penderitaan manusia dalam dua konteks besar abad ke-20.

Ya, lebih tepat tentang pendudukan tentera Jepun di Asia Tenggara dan keganasan politik berasaskan ideologi komunis.

Walaupun latar sejarahnya berbeza, kesemua karya ini bertemu pada satu titik penting: tubuh manusia menjadi medan utama kuasa politik.

Dalam karya Kratoska, pendudukan Jepun di Singapura dan Malaya (1941-1945) digambarkan sebagai satu tempoh kehancuran struktur sosial dan ekonomi kolonial British, digantikan dengan rejim ketenteraan yang keras, kekurangan makanan, dan keganasan sistematik. Dari sudut kemanusiaan, penderitaan utama muncul dalam bentuk kebuluran, ketakutan, kebimbangan dan ketidakpastian hidup. 

Penduduk awam menghadapi inflasi melampau, catuan makanan, serta kekejaman tentera seperti hukuman tanpa bicara. Kratoska, yang turut mengajar saya kursus sejarah sosial di USM menekankan bahawa penderitaan ini tidak sekadar “kesan perang”, tetapi hasil dasar pendudukan yang sering bersifat menghukum dan eksploitatif. Manusia kehilangan bukan sahaja keselamatan fizikal tetapi juga maruah sosial.

Buku Kevin Blackburn tentang comfort women di Singapura yang telah saya kupas dengan panjang lebar beberapa minggu lalu dan disiarkan dalam akhbar ini pula, membawa penderitaan ini ke tahap yang lebih intim dan luar biasa. Jika Kratoska menyorot penderitaan kolektif, Blackburn memfokuskan pengalaman tubuh wanita yang dipaksa menjadi alat seksual tentera Jepun. 

Wanita pemuas nafsu tentera Jepun atau wanita penghibur bukan sekadar mangsa perang, tetapi simbol eksploitasi sistematik yang melibatkan pemerdagangan manusia, rogol beramai-ramai, dan trauma psikologi jangka panjang. 

Dari sudut analisis kemanusiaan, kita berdepan dengan kesunyian sejarah. Ramai mangsa tidak bersuara selama beberapa dekad kerana stigma, ketakutan, dan struktur patriarki pascaperang. Maka penderitaan mereka berlapis: penderitaan semasa perang dan penderitaan ingatan traumatik selepas perang.

Jika dua karya pertama berkaitan dengan pendudukan Jepun, dua karya seterusnya mengalihkan fokus kepada keganasan politik dalam sistem komunis, khususnya di China dan Indonesia. Mereka yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut tentang kisah dan peristiwa berkenaan wajar membaca buku karya Jung Chang. 

Wild Swans telah laris sebanyak 10 juta naskhah, manakala tiga lagi karya beliau tidak kurang menarik, iaitu Mao: The Untold Story, Fly Wild Swans dan Big Sister Little Sister Red Sister. Saya sempat mendengar penulis kelahiran China dan kini menetap di United Kingdom sejak 1978 itu mengongsikan buku Fly Wild Swans di India ketika menghadiri Festival Sastera Jaipur Januari lalu.

Frank Dikötter dalam The Cultural Revolution menunjukkan bagaimana idealisme politik dapat berubah menjadi mesin keganasan sosial. Revolusi Kebudayaan bukan sahaja konflik ideologi, tetapi satu tempoh ketika manusia — guru, pelajar, pegawai, dan rakyat biasa — menjadi mangsa penghinaan awam, penderaan fizikal, dan pemusnahan identiti. 

Kemanusiaan dalam karya ini digambarkan sebagai sesuatu yang rapuh apabila negara menuntut kesetiaan mutlak. Individu dipaksa mengkhianati keluarga dan rakan demi survival politik. Penderitaan di sini bukan sahaja fizikal, tetapi juga psikologi dan moral: manusia dipaksa hidup dalam ketakutan untuk “tersalah fikir”.

Geoffrey B. Robinson dalam The Killing Season pula memperincikan pembunuhan besar-besaran di Indonesia 1965-1966 selepas kejatuhan Parti Komunis Indonesia. Karya ini memperlihatkan bagaimana keganasan dapat menjadi projek negara yang melibatkan tentera, militia tempatan, dan masyarakat awam. 

Jutaan orang dituduh komunis dan dibunuh atau dipenjarakan tanpa proses perbicaraan yang adil. Dari perspektif kemanusiaan, ini contoh paling jelas bagaimana identiti politik menjadi alasan untuk penghapusan manusia secara sistematik. 

Robinson menekankan bahawa keganasan ini bukan sekadar “letusan spontan”, tetapi satu proses yang terancang, didorong oleh propaganda dan ketakutan ideologi.

Apabila keempat-empat karya ini dibaca serentak, beberapa tema kemanusiaan utama muncul dengan jelas. 

Pertama ialah dehumanisasi. Dalam kedua-dua konteks — pendudukan Jepun dan keganasan komunis — musuh politik atau rakyat biasa sering dilucutkan status kemanusiaan mereka. Mereka dilihat sebagai alat, ancaman, atau angka statistik, bukan individu dengan kehidupan dan emosi.

Kedua, trauma jangka panjang. Penderitaan tidak berakhir apabila perang atau revolusi tamat. Dalam kes comfort women, trauma menjadi memori yang dipendam selama puluhan tahun. Dalam Revolusi Kebudayaan yang mengorbankan puluhan juta manusia di China dan pembunuhan di Indonesia, masyarakat membawa luka kolektif yang sering tidak diakui secara rasmi, menyebabkan “trauma senyap” dalam sejarah nasional.

Ketiga, kegagalan institusi untuk melindungi manusia. Sama ada tentera Jepun, rejim komunis Mao, atau struktur kuasa di Indonesia, semua menunjukkan bagaimana negara boleh menjadi sumber utama keganasan, bukannya pelindung rakyat. Ini mencabar idea moden bahawa negara sentiasa berfungsi demi kesejahteraan manusia.

Akhirnya, keempat-empat karya ini juga menimbulkan persoalan tentang ingatan dan keadilan. Siapa yang menulis sejarah? Siapa yang diingati dan siapa yang dilupakan? Blackburn menunjukkan bagaimana suara wanita sering dipinggirkan, manakala Robinson dan Dikötter memperlihatkan bagaimana negara dapat membentuk naratif rasmi yang menutup skala sebenar keganasan. Kratoska pula menekankan pentingnya dokumentasi sejarah untuk memahami penderitaan kolonial dan perang.

Bagi saya, walaupun berlatar dua konteks berbeza — pendudukan Jepun dan keganasan komunis — keempat-empat buku ini bersatu dalam menggambarkan satu hakikat pahit: dalam keadaan ekstrem politik dan perang, tubuh manusia menjadi medan utama eksperimen kuasa. 

Penderitaan yang digambarkan bukan sekadar statistik atau peristiwa sejarah, tetapi pengalaman hidup yang merangkumi kelaparan, penderaan seksual, ketakutan ideologi, dan pembunuhan besar-besaran. Membaca karya-karya ini sekali gus atau bersama-sama memaksa kita melihat sejarah bukan sebagai kronologi peristiwa, tetapi sebagai arkib penderitaan manusia yang mendalam dan berlapis.

• Dato Dr Jeniri Amir ialah peminat sejarah yang bukan sekadar mempelajari peristiwa masa lalu, tetapi sebagai cermin masa sekarang dan masa depan.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU