KUCHING: Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti akan mengenal pasti lokasi lebih strategik bagi Tempat Transit Gelandangan (TTG) di Kuching bagi memperkukuh pengurusan gelandangan.
Menterinya, Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, keperluan itu timbul susulan kekangan mendapatkan premis sesuai sebelum ini, menyebabkan pusat berkenaan kini beroperasi di bangunan sewaan sementara.
“Pada masa ini kita menggunakan premis sewaan yang diasingkan antara lelaki dan wanita.

“Antara keutamaan kita ialah aspek keselamatan kerana terdapat kes sebelum ini, termasuk di Sibu, di mana gelandangan berdepan risiko dipukul ketika tidur di kaki lima,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra bersama penghuni dan pengurusan Tempat Transit Gelandangan (TTG) Kuching di kediaman rasminya di Jalan Bakti, di sini, malam tadi.
Jelas Fatimah, penubuhan TTG adalah sebahagian daripada pendekatan bersepadu Kerajaan Sarawak dalam menangani isu gelandangan, bermula daripada operasi menyelamat yang melibatkan pelbagai agensi.
“Kita (Kerajaan Sarawak) komited memastikan TTG di negeri ini dapat beroperasi secara lebih sistematik dengan kemudahan yang lebih kondusif dan selamat.
“Seperti TTG di Sibu, kita juga mempunyai bangunan sedia ada yang diubah suai sebagai pusat operasi bagi mengurus gelandangan ini,” ujarnya.
Selain menyediakan tempat perlindungan kata Fatimah, TTG turut berfungsi sebagai pusat saringan kesihatan termasuk pemeriksaan penyakit tidak berjangkit seperti darah tinggi dan diabetes, selain rujukan lanjut ke fasiliti kesihatan.
Pada masa sama, katanya program pembangunan kapasiti turut dilaksanakan termasuk latihan kemahiran dan sokongan ke arah penempatan pekerjaan.
“Kita mahu golongan ini selepas keluar daripada TTG, mendapat pekerjaan mahupun boleh menjana pendapatan sendiri dan boleh berdikari.
“Kita mahu golongan gelandangan dihormati dan tidak dipandang rendah, sejajar dengan usaha kerajaan memastikan mereka dapat kembali berdikari serta menjalani kehidupan lebih teratur,” jelasnya.
Justeru ujar Fatimah, usaha memperkukuh TTG di negeri ini mencerminkan komitmen Kerajaan Sarawak dalam memastikan isu gelandangan ditangani secara lebih holistik dan berstruktur.


