TANJUNG MANIS: Kerapu seberat 16.6 kilogram membawa tuah kepada Apri Nawawi apabila dinobatkan juara kategori Laut Dalam Safari Memancing Tanjung Manis edisi ke-18 yang menutup tirainya hari ini.
Kemenangan itu melayakkan Apri membawa pulang hadiah wang tunai RM20,000.

Naib juara disandang Mohd. Nizam Razali selepas berjaya menaikkan jenahak seberat 9.4 kilogram sekali gus membawa pulang RM6,000, manakala tempat ketiga dimenangi Fairuze Siddiqinn Shearack dengan tangkapan kerapu 9.6 kilogram bernilai RM4,000.
Tempat keempat pula diraih Abdillah Jais (jenahak 5.8kg) dengan hadiah RM2,000, manakala Mohamad Taip Johari (jenahak 5.2kg) menduduki tempat kelima dan menerima RM1,000.

Lima lagi peserta kategori laut dalam masing-masing membawa pulang wang saguhati RM500.
Kategori Pesisir Pantai menyaksikan Suharman Rosli dinobatkan juara apabila berjaya mendaratkan pari seberat 18 kilogram dan membawa pulang hadiah wang tunai RM8,000 berserta trofi.
Naib juara kategori ini milik Othman Morni dengan tangkapan pari 17 kilogram dan hadiah RM5,000, manakala tempat ketiga dimenangi Malek Rebi (pari 16.6kg) bernilai RM2,000.
Ismandie Spawi pula menduduki tempat keempat (pari 14.2kg) menerima RM850, manakala Husaini Jamil di tempat kelima (pari 9.2kg) dengan wang tunai RM600.
Lima pemenang saguhati kategori ini masing-masing menerima RM400.
Majlis penyampaian hadiah kepada pemenang disempurnakan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Hadir sama, Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol, Ahli Parlimen Tanjung Manis, Yusuf Abd Wahab serta Pengurus Besar Pusaka, Zainal Abidin Abdullah.


