ARTIKEL

Tubuh suruhanjaya jaga elektrik kita

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

KUCHING: Dalam menghadapi cabaran globalisasi dan liberalisasi industri bekalan tenaga, Sarawak dicadang untuk menubuhkan satu suruhanjaya bagi menjaga bekalan elektrik di negeri ini.

ADUN Serembu Miro Simuh berkata, badan tersebut akan memastikan industri tenaga dibangunkan dengan cara lebih cekap.

“Tujuannya, mengurangkan beban kepada Sarawak Energy Berhad (SEB) dalam mengawal hal berkaitan tenaga elektrik di Sarawak.

“Sebagai contoh, kita mempunyai Suruhanjaya Tenaga di peringkat Persekutuan, tetapi ia hanya meliputi Malaysia Barat dan Sabah.

“Jika kita melihat kepentingan bekalan tenaga yang cekap dan mencukupi, kita memerlukan badan yang mempunyai kuasa untuk mengawal selia dan mempromosikan perkara berkaitan dengan elektrik yang memenuhi keperluan entiti domestik dan komersial,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam perbahasan menyokong RUU Elektrik (Pindaan) 2023 yang dibentangkan oleh Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Datuk Seri Julaihi Narawi pada persidangan DUN Ke-19, di sini, hari ini.

Seperti Kesatuan Eropah jelasnya, mempunyai Suruhanjaya Dasar Tenaga Eropahnya sendiri dengan tujuan meningkatkan pasaran tenaga dalaman, menjadikan bekalan tenaga lebih selamat, mampan dan lebih berpatutan.

“Pada masa ini, ya, kita mempunyai banyak kuasa elektrik. Permintaan juga terus meningkat dari semasa ke semasa.

“Kapasiti industri semakin meningkat lebih besar, permintaan dalam negeri meningkat dari tahun ke tahun dan mungkin negeri dan negara jiran mula menekan SEB untuk membekalkan lebih banyak pada masa hadapan.

“Justeru, kita memerlukan satu badan untuk membantu SEB mengawal selia perkara yang tidak terlalu berkaitan dengan operasi SEB, tetapi dapat memacu rancangan masa depan dan bekalan tenaga yang mampan,” ujarnya.

Antara peranan dan tanggungjawab yang sepatutnya diletakkan di bawah suruhanjaya itu nanti tambah Miro, seperti hal melibatkan tarif, badan utiliti dan pelesenan.

“Memastikan tarif elektrik di Sarawak tidak membebankan pengguna domestik secara amnya, dan pelanggan komersial mendapat manfaat daripada tarif yang berpatutan.

“Ada badan perlindungan yang mencukupi kepada semua pihak yang terlibat dalam bekalan tenaga dan pengguna.

“Sebagai badan pelesenan yang mengakreditasi pembeli tunggal (SEB) dan Penjana Tenaga Bebas (IPP) dan memberikan mereka lesen untuk beroperasi atau membekalkan,” tambahnya.

Beliau mencadangkan suruhanjaya tersebut menjadi badan berkanun di bawah bidang kuasa Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi dan Menteri Bertanggungjawab sebagai Pengerusi.

LAIN-LAIN BERITA

Jasa Tun Taib tidak terhad di peringkat negeri

Yang Dipertua Yadim, Datuk Hasanuddin Mohd Yunus terkenang jasa Allahyarham Tun Datu Mustapha Datu Harun dan Allahyarham Tun Abdul Taib Mahmud yang pernah menjadi Menteri

BERITA TERBARU

Jasa Tun Taib tidak terhad di peringkat negeri

Yang Dipertua Yadim, Datuk Hasanuddin Mohd Yunus terkenang jasa Allahyarham Tun Datu Mustapha Datu Harun dan Allahyarham Tun Abdul Taib Mahmud yang pernah menjadi Menteri