ARTIKEL

Presiden ISWAMI Indonesia Asro Kamal Rokan ketika ditemubual pada pertemuan wartawan Indonesia dan Malaysia di sini malam tadi. 

Tubuhkan segera Majlis Media Malaysia

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

JAKARTA: Di Malaysia, sejauh manakah kebebasan yang ada pada wartawan di negara ini? Dan bagaimana pula pengamal media di negara ini dilindungi? 

Persoalan ini diajukan oleh wartawan yang mengikuti Program Jejak Serumpun Ikatan Setiakawan Malaysia-Indonesia (ISWAMI) Malaysia di sini dalam kaitannya dengan penubuhan Majlis Media Malaysia.

Bagi para wartawan, penubuhan Majlis ini (Majlis Media Malaysia) menjadi satu peristiwa yang dinantikan. Mereka percaya bahawa sudah tiba masanya bagi Malaysia untuk memiliki badan media sendiri, sesuai dengan perbincangan yang telah lama berlangsung.

Semasa berbual dengan Presiden ISWAMI Indonesia, Asro Kamal Rokan, beliau menyatakan bahawa penubuhan Majlis Media Malaysia adalah penting untuk memperjuangkan kebebasan media dan meningkatkan demokrasi.

Katanya, usaha menubuhkan badan pengawalseliaan media bebas ini perlu diperjuangkan oleh pengamal-pengamal media tempatan bagi mendukung standard kewartawanan, menaikkan tahap profesionalisme, dan menyediakan ruang untuk aduan awam.

“Usul ini adalah satu langkah yang penting dan juga tepat pada waktu memandangkan dua faktor utama iaitu melindungi dan menaik tarafkan profesion kewartawanan media perdana; khususnya cabaran digital yang terpaksa mereka lalui kini,” katanya.

Mengambil contoh di Indonesia katanya, penubuhan Majlis Media yang lebih dikenali sebagai Dewan Pers menjadi langkah penting dalam memastikan kebebasan media di Indonesia. 

Dalam konteks undang-undang, Dewan Pers memainkan peranan utama sebagai badan perantara antara wartawan dan pembaca.

“Menurut undang-undang, polis tidak boleh memanggil wartawan sewenang-wenangnya atas berita yang mereka laporkan. 

“Ini menandakan pentingnya kedudukan Dewan Pers dalam menangani sengketa yang melibatkan wartawan dan pembaca. 

“Jika ada tuduhan fitnah, pihak yang merasa difitnah itu dikehendaki untuk membawa isu tersebut ke Dewan Pers, bukan langsung ke pihak polis,” katanya.

Melihat kepada ini, beliau berkata ia boleh disimpulkan bahawa Dewan Pers ini bertindak sebagai pengantara antara pihak yang difitnah dengan wartawan. 

“Ini adalah penting kerana menyediakan platform bagi penyelesaian sengketa secara berhemah…ia juga dilihat sebagai jaminan terhadap integriti dan etika wartawan,” tambahnya.

JelasnY juga, wartawan di Indonesia diarahkan untuk mematuhi kod etika yang telah ditetapkan, termasuk larangan terhadap fitnah dan pembohongan. 

Jelas Asro, usul ini pernah dicadangkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan draf mengenainya juga sudah dibentang.

Justeru, beliau berharap Anwar boleh mewujudkan majlis ini dalam meningkatkan standard kewartawan yang lebih baik.

“Semoga pembentukan Majlis Media Malaysia diberi keutamaan dan segera dilaksanakan untuk meningkatkan undang-undang dan menaikkan standard profesionalisme dalam bidang kewartawanan,” ujarnya.

Presiden ISWAMI Indonesia Asro Kamal Rokan ketika ditemubual pada pertemuan wartawan Indonesia dan Malaysia di sini malam tadi. 

BERITA LAIN

BERITA TERBARU