ARTIKEL

Kredit: BERNAMA

Tugas getir menanti skuad bola keranjang kerusi roda di Hangzhou

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUALA LUMPUR: Skuad bola keranjang berkerusi roda negara menjangkakan bakal berdepan tugas getir pada Sukan Para Asia Hangzhou 2022 apabila diundi dalam Kumpulan B bersama pasukan pilihan Jepun dan Korea Selatan. 

Selain kedua-dua pasukan berkenaan, masing-masing pemenang pingat perak dan gangsa edisi 2018, turut berada dalam kumpulan berkenaan ialah Kuwait dan Taiwan. 

Pengendali pasukan, Lim Ming Lip, memaklumkan pihaknya tidak menetapkan sasaran tinggi dan berharap anak buahnya dapat menamatkan cabaran di kedudukan enam terbaik secara keseluruhan pada temasya empat tahun sekali itu.

“Agak sukar untuk meletakkan sasaran tinggi apabila diundi dalam kumpulan ini, jadi kalau kita ada peluang untuk kalahkan sama ada Taiwan atau Kuwait, sekurang-kurangnya kita boleh melayakkan diri ke perlawanan tempat kelima dan keenam terbaik,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika ditemui Bernama selepas majlis penyerahan ‘mock cheque’ penaja kepada Persekutuan Bola Keranjang Kerusi Roda Malaysia (MWBF), di sini, semalam.

Ming Lip memaklumkan pasukannya hanya menjalani latihan dalam negara dengan pemain yang sudah bersara sebagai rakan sepelatih untuk berkongsi pengalaman mereka beraksi di pentas antarabangsa.

Sementara itu, ketua pasukan, Muhamad Atib Zakaria, berkata pencapaian pasukan pada Sukan Para ASEAN (APG) Kemboja 2023 dengan meraih gangsa dalam kategori 3×3 lelaki menyuntik semangat kepada skuad negara untuk memperbaiki pencapaian di Hangzhou.

“Di Kemboja pada Jun lepas, skuad kita separuh atlet baharu dan separuh atlet lama sebab ada yang tidak dapat sertai.

Kali ini 90 peratus adalah pemain senior, jadi ia dapat memberi kelebihan kepada pasukan,” katanya

Pada edisi Sukan Para Asia Jakarta 2018, skuad negara menamatkan saingan di tempat kesembilan selepas menumpaskan Indonesia 79-23 dalam kategori 5×5 lelaki.

Pasukan negara yang terdiri daripada 12 pemain dan tiga pegawai akan berlepas ke China pada 16 Okt ini. 

Sukan Para Asia 2022 akan berlangsung dari 22 hingga 28 Okt ini. – BERNAMA

BERITA LAIN

BERITA TERBARU