BERSEMPENA Nuzul al-Quran yang disambut pada Ramadan, kita sebagai umat Nabi Muhammad SAW seharusnya memperingati hari tersebut sebagai salah satu hari kebesaran kerana pada hari itu turunnya kalam Allah SWT yang terakhir sebagai mukjizat kepada Nabi Muhammad SAW untuk seluruh umat manusia.
Oleh itu, penulis ingin mengajak pembaca untuk bersama-sama merenung dan muhasabah diri kita, apakah tujuan sebenar al-Quran itu diturunkan?
Adakah kita sudah berusaha mengaplikasikannya dalam kehidupan seharian?
Penurunan al-Quran sudah tentulah memiliki pelbagai tujuan dan peranan.
Namun, di sini saya ingin kongsikan beberapa amalan yang boleh kita laksanakan sepanjang Ramadan berkaitan dengan al-Quran itu sendiri.
MEMAHAMI AL-QURAN
Ramadan merupakan bulan al-Quran, maka kita semua amat digalakkan untuk menghabiskan masa dan waktu sepanjang Ramadan dengan alQuran, sama ada dalam pembacaan mahupun mentadabburkannya.
Oleh itu, sering kali kita melihat para alim ulama memperbanyakkan tilawah al-Quran, malah ada yang mengkhatamkannya berkali-kali.
Antara perkara yang juga harus kita lakukan ialah berusaha mentadabbur al-Quran, kerana ia sememangnya diturunkan untuk mentadabbur kandungannya, sebagaimana fi rman Allah SWT: “(Al-Quran ini) sebuah Kitab yang Kami turunkan kepadamu (dan umatmu Wahai Muhammad), Kitab yang banyak faedah dan manfaatnya, untuk orang yang berakal sempurna beringat mengambil iktibar.” (maksud Surah As-Sad: 29) Tadabbur ialah tujuan utama penurunan al-Quran itu sendiri, iaitu agar manusia mengambil iktibar daripadanya dan seterusnya mengamalkannya.
Adapun tafsir ia merupakan satu ilmu yang lain dengan tujuan untuk mengetahui makna ayat-ayat al-Quran dan ianya memerlukan pelbagai ilmu untuk mentafsirkan al-Quran seperti ilmu bahasa Arab, nahu, sorof serta lain-lain.
Tujuan utama iaitu merupakan wasilah untuk mencapai maqasid penurunan al-Quran itu sendiri: “(alQuran ini) sebuah Kitab yang Kami turunkan kepadamu (dan umatmu wahai Muhammad), Kitab yang banyak faedah dan manfaatnya, untuk mereka memahami dengan teliti kandungan ayat-ayatnya, dan untuk orang yang berakal sempurna beringat mengambil iktibar”. (maksud Surah Sod , ayat 29) Imam al-Nawawi menyebutkan bahawa apabila seseorang membaca ayat al-Quran, hendaklah dia membaca dengan khusyuk dan mentadabbur maknanya kerana itu perkara yang dituntut dan merupakan tujuan penurunan al-Quran.
Perbuatan tersebut menjadikan hatinya lapang dan mendapat petunjuk.
BERUSAHA MEMPELAJARI AL-QURAN
Di samping memahami al-Quran, kita juga amat dianjurkan untuk belajar dan memperbaiki bacaan al-Quran agar ia menepati bacaan Rasulullah SAW serta mengurangkan kesalahan dalam bacaan.
Jadikan Ramadan sebagai titik permulaan untuk kita mempelajari alQuran, dan jika tidak mampu, kita boleh memulakan dengan bacaan Iqra’ atau Muqaddam terlebih dahulu.
Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda: “Dan tidaklah satu kaum itu berkumpul di rumah Allah (masjid) sambil membaca al-Quran dan mempelajarinya sesama mereka melainkan turunnya ketenangan kepada mereka, diliputi oleh rahmat Allah serta malaikat mengerumuninya dan Allah menjadikan makhluk yang berada di sisi-Nya menyebut-nyebut mereka.
Dan barang siapa yang amalnya perlahan, maka nasabnya tidak dapat mengangkat darjatnya itu”. (maksud hadis riwayat Muslim) Al-Quran perlu dipelajari dengan cara berguru atau bertalaqqi (berjumpa).
Hal ini berdasarkan peristiwa apabila Nabi SAW diajar oleh Jibril AS secara bertalaqqi.
Di samping itu, Nabi SAW mempelajari al-Quran dengan Jibril AS setiap tahun sekali, kecuali pada tahun kewafatan Baginda SAW, apabila mereka mempelajarinya dua kali.



