Tujuh blok rumah pangsa Sibu Jaya dilanjut PKPD

SIBU: Tujuh blok rumah pangsa Sibu Jaya akan dilanjutkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula 5 hingga 11 Mac ini.

Dengan keputusan PKPD secara bersasar itu, Penyelaras Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Sibu (JPBBS) Dr Annuar Rapaee mengingatkan penduduk terlibat agar bertenang dan tidak meninggalkan kediaman mereka.

Jelasnya, kerjasama penduduk amat diperlukan bagi memutuskan rantaian jangkitan Covid-19 di Sibu Jaya.

“Saya meminta penduduk yang terjejas untuk bertenang, mematuhi arahan dan tidak mengambil tindakan yang salah yang boleh menyumbang kepada kegagalan kita memerangi wabak itu.

“Saya berbincang dengan Pegawai Kesihatan Bahagian Sibu Dr Teh Jo Hun bahawa jika kita perlu melakukan calitan kali ketiga, prosesnya hanya akan memakan masa dua hari untuk disiapkan.

“Sekiranya semua penduduk diuji negatif maka tidak perlu kita mengenakan PKPD bagi blok yang disasarkan ini,” katanya sebentar tadi.

Suara Sarawak