KUCHING: Sebanyak tujuh kategori anugerah dipertandingkan dalam Anugerah Ekonomi Digital (DEA) 2026, dengan setiap pemenang kategori bakal menerima hadiah wang tunai RM10,000 sempena Persidangan Ekonomi Digital Antarabangsa Sarawak (IDECS) 2026 yang kesembilan.

Timbalan Pengurus Besar Lembaga Multimedia Sarawak (SMA) Ts. Dr. Suhaila Jaffar berkata, pemenang keseluruhan pula akan membawa pulang hadiah wang tunai RM20,000 menerusi Anugerah Premier.
“Permohonan penyertaan dibuka mulai 6 Julai 2026 hingga 6 September 2026 dan perlu dikemukakan secara dalam talian menerusi laman sesawang digitaleconomyawards.com.
“Kami percaya penyertaan yang diterima akan menyumbang kepada usaha memperkukuh agenda Transformasi Digital Sarawak,” katanya ketika berucap pada Malam Apresiasi Media SMA di Hotel Imperial, di sini, pada Khamis.
Sementara itu, kategori yang dipertandingkan ialah Anugerah Teknologi Digital, Anugerah Penyelidikan dan Pembangunan, Anugerah Inovasi Kecerdasan Buatan (AI), Anugerah Kerajaan Digital, Anugerah Industri Kreatif Digital, Anugerah Kelestarian Alam Sekitar dan Anugerah Penyelesaian Pintar.
“Anugerah ini bertujuan mengenal pasti dan mengiktiraf organisasi serta individu yang mempamerkan strategi dan inisiatif cemerlang dalam memacu transformasi, kelestarian dan pertumbuhan inklusif, sekali gus menyumbang secara signifikan kepada kemajuan Agenda Ekonomi Digital Sarawak,” katanya.
IDECS 2026 akan berlangsung pada 5 dan 6 Oktober 2026 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) dengan tema Memperkasa Ekosistem Inovasi ke Arah Ekonomi Tanpa Sempadan: Bumi, Orbit dan Seterusnya.
DEA 2026, anjuran Kerajaan Sarawak menerusi SMA akan mengadakan majlis penyampaian anugerah pada Majlis Makan Malam Gala IDECS 2026.
Dalam perkembangan lain, beliau merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada rakan-rakan media atas peranan dalam memastikan mesej SMA dapat disampaikan kepada masyarakat melalui pelbagai saluran.



