KUCHING: Sebanyak tujuh kawasan di Sarawak merekodkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) pada tahap tidak sihat setakat jam 6 petang ini, dengan Serian mencatat bacaan tertinggi iaitu 170.
Menurut portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) Jabatan Alam Sekitar (JAS), Samalaju merekodkan bacaan 164, diikuti Kota Samarahan (155), manakala Kuching dan Bintulu masing-masing mencatat 153.
Mukah pula merekodkan bacaan 117, diikuti Sri Aman (112).
Sementara itu, Sarikei mencatat bacaan 99, Sibu (94), Miri (89), ILP Miri (86) dan Limbang (80), manakala Kapit merekodkan bacaan terendah iaitu 66.
Berdasarkan klasifikasi IPU, bacaan 101 hingga 200 dikategorikan sebagai tidak sihat, manakala 51 hingga 100 berada pada tahap sederhana.
Orang ramai, khususnya golongan berisiko, dinasihatkan mengambil langkah berjaga-jaga sekiranya keadaan kualiti udara terus merosot.

