KUCHING: Angka kematian akibat jangkitan Covid-19 di negeri ini meningkat kepada 237 orang selepas tujuh kes kematian dilaporkan hari ini.
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) berkata, kes kematian di Sarawak melibatkan warga tempatan dalam lingkungan umur 43 tahun hingga 90 tahun.
Kata JPBN, kes ke-231 melibatkan seorang lelaki berusia 78 tahun dijumpai tidak sedarkan di rumah di Bukit Mabong pada 10 Mei lalu.
Jelasnya, kes disahkan meninggal dunia oleh pasukan kesihatan kerana tidak menunjukkan sebarang tanda bernyawa dan telah dibawa ke Hospital Kapit oleh pasukan forensik.
“Calitan bagi ujian rT-PCR pada 11 Mei adalah positif Covid-19. Kes mempunyai ko-morbiditi penyakit darah tinggi dan sejarah strok,” katanya dalam satu kenyataan.
Kes kematian ke-232 kata JPBN melibatkan seorang lelaki berumur 79 tahun yang mendapat rawatan di Hospital Sarikei kerana mengalami sesak nafas.
Katanya, kes didapati mengalami gejala demam dan sukar bernafas sehari sebelum itu. “Keadaan kesihatan kes semakin merosot dan disahkan meninggal dunia pada 16 Mei lalu.
“Kes mempunyai ko-morbiditi penyakit kencing manis, darah tinggi, asma, gout dan dislipidemia,” jelas jawatankuasa itu.
Manakala katanya, kes ke-233 melibatkan seorang lelaki berumur 66 tahun yang mendapat rawatan di Hospital Sarikei kerana mengalami gejala demam, batuk dan selsema.
JPBN memberitahu keadaan kes semakin merosot dan disahkan meninggal dunia 18 Mei.
“Kes mempunyai komorbiditi penyakit darah tinggi, kencing manis dan penyakit jantung,” kata JPBN.
Sementara itu, kes ke-234 melibatkan seorang lelaki berumur 89 tahun yang menerima rawatan di Hospital Sarikei setelah dirujuk dari klinik kesihatan kerana mengalami gejala batuk, kurang selera makan dan sukar bernafas sejak beberapa hari yang lepas.
Tambah JPBN lagi, saringan ujian rapid molekular pada 13 Mei mengesahkan kes positif Covid-19.
Katanya, keadaan kesihatan kes semakin merosot dan disahkan meninggal dunia pada 18 Mei dan mempunyai ko-morbiditi penyakit paru obstruktif kronik, kencing manis, darah tinggi dan dislipidemia.
Manakala kes ke-235 melibatkan seorang perempuan berumur 90 tahun yang mengalami sesak nafas yang dirawat di Hospital Sarikei.
Menurut JPBN, kes didapati mengalami gejala demam sejak lima hari yang lalu serta mulai mengalami kesukaran bernafas sejak tiga hari lalu.
“Kes meninggal dunia pada 18 Mei dan mempunyai ko-morbiditi kencing manis dan darah tinggi,” ujarnya.
JPBN memaklumkan, kes ke-236 melibatkan seorang lelaki berumur 43 tahun yang dirawat di Hospital Sibu. Katanya, kes mengalami sesak nafas dan turut didapati mengalami gejala demam, batuk dan cirit-birit sejak dua hari lalu.
“Kes meninggal dunia pada 18 Mei dan mempunyai ko-morbiditi masalah obesiti,” jelas jawatankuasa itu.
Kes ke-237, kata JPBN, melibatkan seorang perempuan berumur 55 tahun yang mendapat rawatan di Hospital Sibu.
Jelas JPBN, kes mengalami sesak nafas dan didapati mulai mengalami gejala sukar bernafas dan batuk sejak dua hari yang
lalu.
“Keadaan kesihatan kes semakin merosot dan disahkan meninggal dunia pada 19 Mei. Kes mempunyai ko-morbiditi penyakit darah tinggi dan kencing manis,” katanya.

