KUCHING: Sebanyak tujuh inisiatif diumumkan menerusi Belanjawan 2027 bagi memperkukuh kebajikan 1.6 juta penjawat awam, termasuk penambahbaikan kuarters, kenaikan elaun sukarelawan, kemudahan keluarga dan peningkatan pencen minimum.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu mencerminkan penghargaan kerajaan terhadap peranan penjawat awam dalam melaksanakan dasar dan memacu pembangunan negara.
Beliau berkata, peruntukan bagi pembinaan dan penyelenggaraan kuarters kerajaan, termasuk untuk polis, doktor, tentera, guru dan bomba, ditingkatkan kepada RM2.3 bilion. Bahagian Pengurusan Hartanah juga akan dinaik taraf kepada Jabatan Hartanah Negara bagi memperkukuh pengurusan perumahan penjawat awam.
Selain itu, rumah keluarga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan dibina di Skudai, Johor, manakala kuarters baharu disediakan di Depot Tahanan Imigresen Langkap, Perak dan Papar, Sabah. Inisiatif itu dijangka memanfaatkan hampir 900 anggota dengan kos melebihi RM500 juta.
Anwar berkata, elaun anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Bomba Bantuan, Sukarelawan Polis dan Sukarelawan Pertahanan Awam dinaikkan kepada RM9 sejam bagi petugas sukarelawan dan RM10.80 sejam bagi penyelia. Peruntukan RM339 juta disediakan untuk manfaat hampir 50,000 sukarelawan.
Kerajaan turut meningkatkan bayaran faedah Ex-Gratia Waris Pukal secara sekali bayar daripada RM20,000 kepada maksimum RM50,000, tertakluk pada tempoh perkhidmatan. Bayaran itu merupakan tambahan kepada faedah Ex-Gratia Waris Bulanan bagi kematian akibat kemalangan atau bencana kerja dan berkuat kuasa mulai 1 Januari 2026.
Dalam usaha mengiktiraf prestasi pegawai, kerajaan bersetuju melaksanakan kenaikan pangkat sekali sahaja melalui kaedah Khas Untuk Penyandang (KUP) kepada 12,000 pegawai Kumpulan Pengurusan dan Profesional (P&P) yang berdepan kekangan peluang kenaikan pangkat akibat keterbatasan perjawatan.
Bagi kemudahan keluarga, jumlah kelayakan cuti bersalin sepanjang tempoh perkhidmatan dinaikkan daripada 360 hari kepada 490 hari, dengan maksimum 98 hari bagi setiap kelahiran. Sebanyak RM20 juta turut diperuntukkan untuk menambah baik pusat penjagaan kanak-kanak di fasiliti kerajaan.
Sementara itu, kadar pencen minimum dinaikkan daripada RM1,000 kepada RM1,350 sebulan, yang dijangka memanfaatkan hampir 59,000 pesara, veteran ATM dan penerima pencen terbitan.



