ARTIKEL

Ketua Pegawai Eksekutif Hornbill Skyways, Wan Mohamad Ali Wan Abdullah.

Tukang cuci pesawat kini CEO syarikat penerbangan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Wan Mohamad Ali Wan Abdullah pernah menyimpan impian untuk menjadi seorang inspektor polis kerana tertarik dengan disiplin dan pakaian seragam yang sinonim dengan pasukan beruniform.

Pada usia 18 tahun, beliau lulus temu duga dan diterima masuk ke pasukan polis. Namun hasratnya itu ditentang oleh ibu bapanya yang bimbang akan risiko kerjaya tersebut ketika itu. Mereka sanggup ke ibu pejabat polis untuk membatalkan permohonan anak mereka, lalu berjaya memujuk Wan Mohamad Ali agar menarik diri.

Dengan restu keluarga, beliau kemudiannya menukar haluan—masih dalam bidang beruniform dan menanam cita-cita untuk menjadi juruterbang. Sementara menunggu keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), beliau mengambil peluang bekerja sebagai pencuci pesawat sambilan di Hangar Hornbill Skyways di Kuching.

“Billy dan saya merupakan pencuci pesawat pertama di Hornbill Skyways,” katanya dengan bangga, mengenang semula detik-detik awal bersama-sama syarikat itu yang hanya memiliki empat buah pesawat dan helikopter (ketika itu).

Wan Mohamad Ali ketika temu bual eksklusif di Hangar Hornbill Skyways Kuching.

Setelah memperoleh keputusan SPM, beliau memohon biasiswa sekolah penerbangan Hornbill Skyways dan berjaya melanjutkan latihan ke Singapore General Aviation School yang dikendalikan oleh tenaga pengajar British. Beliau antara empat pelatih pertama yang ditaja syarikat itu bersama-sama Allahyarham Mohamad Yusof, Lim Kim Sia dan Thomas Lim.

Dua tahun latihan ketenteraan yang padat, perintah berkurung jam 7 malam setiap hari termasuk hujung minggu dan cuti umum, 26 kertas peperiksaan dan 200 jam penerbangan berjaya ditempuhinya sebelum menamatkan pengajian. Enam tahun berikutnya beliau mengemudi pesawat Hornbill Skyways dengan semangat anak muda dan impian untuk terbang lebih tinggi.

Hasrat itu terlaksana apabila beliau menyertai Malaysia Airlines dan diberi peluang mengemudi pesawat Boeing 747, yang digelar ‘Queen of the Skies’. Namun pada 2006, ketika syarikat itu melalui penstrukturan semula dan potongan elaun, ramai juruterbang berhijrah ke syarikat penerbangan luar negara—termasuk Wan Mohamad Ali yang memilih syarikat penerbangan negara Kazakhstan.

Enam tahun di perantauan diikuti lima tahun bersama-sama AirAsia sebelum beliau dilamar semula oleh Hornbill Skyways untuk menjadi juruterbang khas tetamu kehormat utama (VVIP) Sarawak.

Selepas 30 tahun meneroka langit dunia, beliau kembali ke tempat segalanya bermula—hangar yang dahulu menjadi tempat beliau mengelap cermin pesawat dan membersihkan tempat duduk.

Ketika era Miron Kumer Ganguly sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Wan Mohamad Ali memegang jawatan sebagai Ketua Operasi Penerbangan. Selepas persaraan Miron pada 2024, beliau dilantik menerajui syarikat itu secara rasmi pada April tahun yang sama.

“Saya cuma budak dari Kampung Sebuyau yang mahu melihat dunia,” katanya.

Hari ini, Wan Mohamad Ali ialah individu yang mengemudi hala tuju Hornbill Skyways, syarikat yang pernah membayar gaji pertamanya. Jam tangan Rolex GMT-Master 1 miliknya—dibeli daripada simpanan awal ketika mula bekerja—masih disimpan rapi sebagai simbol permulaan yang sederhana.

Kini, menjelang usia 65 tahun Ogos ini, beliau bahagia bersama-sama isteri, lima anak dan lapan cucu. Dahulu aktif menyertai maraton, kini beliau tetap memastikan rutin berjalan di atas treadmill (sawat injak) selama 30 minit setiap hari atas ‘arahan’ anak-anak. Pada masa lapang, beliau mengisi hari dengan berkebun—terapi yang mengisi hari-hari senja seorang ketua yang bermula dari bawah.

BERITA LAIN

AIDIL ANGGAP SETIAP AKSI ACL2 SEPERTI FINAL

KUCHING: Setiap perlawanan Kuching City FC perlu dianggap seperti aksi final, termasuk pertemuan dalam Liga Juara-Juara Asia Dua (ACL2) 2026-2027 menentang Kitchee SC di Stadium

BERITA TERBARU