SARATOK: Masyarakat harus diberikan kesedaran lebih meluas agar melupuskan barangan elektrik dan elektronik dengan betul, bukannya sesuka hati.
ADUN Kalaka Mohamad Duri berkata, kesedaran masyarakat terhadap kaedah membuang barangan elektrik dan elektronik dengan betul masih rendah.
Justeru, usaha promosi harus digiatkan agensi berkaitan terutama pihak berkuasa tempatan.
“Ada barangan elektrik dan elektronik yang tidak sesuai dibuang seperti sisa makanan dan sebagainya, kerana ia mempunyai komponen tertentu yang mengundang kesan buruk terhadap alam sekitar.
“Sebab itu, kerajaan memperkenalkan Kempen Pengumpulan Buangan Elektrik dan Elektronik, memandangkan perlunya kesedaran lebih meluas masyarakat.
cara betul, ia memberikan pulangan wang. Kita membuang tetapi dapat wang,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa meninjau Kempen Pengumpulan Buangan Elektrik dan Elektronik di Pentas Utama Sri Kalaka, semalam.
Jelasnya, masyarakat harus mencontohi negara-negara maju dalam memastikan sisa buangan dilupus dengan betul.
Beliau menzahirkan terima kasih kepada Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (MPHLG) serta Majlis Daerah Saratok (MDS) yang membawa kempen ini ke luar bandar.
“Saya berharap dengan adanya platform ini, masyarakat tidak lagi membuang mesin basuh, peti sejuk, komputer, televisyen, telefon, radio atau apa-apa sahaja alat elektrik yang rosak ke dalam sungai.
“Justeru, jadual kempen atau masa masyarakat untuk menjual barangan elektrik dan elektronik perlu diatur dengan tersusun.
“Kita ingin menggalakkan masyarakat agar lebih bertanggungjawab terhadap alam sekitar,” tambahnya.
Dalam perkembangan berasingan, beliau menghadiri perjumpaan dan mesyuarat bersama-sama agensi pelaksana projek di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP) DUN Kalaka yang diadakan di Bilik Mesyuarat Pejabat Daerah Saratok.
Katanya, beliau sedaya upaya memastikan semua projek RTP disiapkan pelaksanaannya mengikut jadual.
“Saya mahu wakil agensi atau kontraktor, mengemas kini perjalanan projek sama ada berjalan lancar, ada masalah dan sebagainya.
“Jika terdapat isu, kita dapat berunding kaedah penyelesaian dan saya juga menagih komitmen kontraktor agar memainkan peranan penting,” tegasnya.
Pegawai Daerah Saratok Haron Mahidi turut hadir.

