SEMATAN: Jabatan Perikanan Laut Sarawak melabuhkan pelbagai jenis tukun tiruan bernilai jutaan ringgit di perairan Sematan sejak 1984 bagi meningkatkan stok perikanan, memulihkan habitat marin serta merancakkan industri pelancongan berasaskan laut.
Ketua Wilayah Perikanan I Kuching, Jackson Clive Jusak berkata, usaha berterusan itu diteruskan pada tahun ini apabila sebanyak 35 unit tukun tiruan jenis rekreasi dilabuhkan di perairan Telok Melano pada 2 Julai lalu, selepas 32 unit tukun tiruan jenis sama dipasang di perairan Sampadi pada tahun lalu.
“Sematan merupakan kawasan yang bertuah kerana kaya dengan sumber semula jadi termasuk pantai, pulau, flora dan fauna, selain pelbagai spesies ikan, udang kara, ubor-ubor dan ketam yang terkenal di daerah ini.
“Jabatan Perikanan Laut Sarawak sentiasa menjadikan usaha pemeliharaan dan pemuliharaan sumber marin sebagai agenda utama supaya manfaatnya dapat dinikmati generasi akan datang.
“Dalam masa yang sama, memperkukuh industri perikanan dan pelancongan di Sematan,” katanya pada Majlis Interaksi dan Penyerahan Bantuan Touch Point kepada Nelayan Sematan Tahun 2026, di sini, hari ini.
Menurutnya, Sematan turut mempunyai potensi besar dalam aktiviti huluan dan hiliran produk perikanan, dengan ramai usahawan tempatan kini aktif menyertai program pembangunan seperti myAgropreneur Perikanan, myAgropreneur Muda Perikanan serta pelbagai aktiviti berasaskan komuniti.
Dalam program yang dihadiri kira-kira 80 peserta terdiri daripada nelayan, pengusaha perikanan, ketua pangkalan serta wakil jabatan dan agensi kerajaan itu, peserta turut mengikuti tiga sesi pembentangan membabitkan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan Jabatan Perikanan Laut Sarawak.
Pembentangan tersebut merangkumi Elaun Sara Hidup Nelayan dan bantuan berkaitan, Taklimat Cawangan Pengembangan Perikanan serta Taklimat Pindaan Akta Perikanan 1985, bagi memberi pendedahan dasar, bantuan dan perkembangan semasa industri perikanan.



