KUCHING: Seorang pengawal keselamatan dijatuhkan hukuman penjara lima bulan dan denda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret hari ini, kerana menumbuk rakan sekerjanya hingga menyebabkan jari manis mangsa retak.
Tertuduh berusia 44 tahun mengaku bersalah atas satu pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Nursyaheeqa Nazwa Radzali.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa menumbuk rakan sekerjanya yang berusia 23 tahun hingga menyebabkan jari manis retak di sebuah pejabat syarikat keselamatan di Jalan Ensing Timur, sekitar 9.30 pagi, pada 26 Ogos lalu.
Pendakwaan kes mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Menurut fakta kes, pada hari kejadian, pengadu ditumbuk tertuduh kerana tidak berpuas hati pengadu menggunakan cop syarikat tanpa izinnya.
Akibat kejadian terbabit, pengadu mengalami sakit di bahagian belakang kepala dan sakit jari manis kiri.
Susulan itu, pengadu dihantar ke hospital untuk menerima rawatan dan laporan perubatan mengesahkan dia mengalami retak jari manis kiri akibat kejadian terbabit.
Laporan polis dilakukan oleh pengadu seterusnya membawa kepada penangkapan tertuduh.
Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Siti Radhiah Abdul Rahman, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
TAMAT



