SARATOK: Sarawak yang dipacu pelan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030 menjamin tiada rakyat ketinggalan daripada arus pembangunan.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, tumpuan utama Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) adalah mencari kaedah membangunkan Sarawak berpandukan kemakmuran.
“Sehubungan itu, menerusi PCDS 2030, kita menyasarkan untuk Sarawak menikmati keterangkuman sosial dan kelestarian alam sekitar.
“Pembangunan untuk semua dan tiada siapa pun yang akan ditinggalkan,” katanya merasmikan Majlis Penangguhan Pesta Saratok Edisi 2025 di Pentas Utama Sri Kalaka di tebingan Sungai Krian, hari ini.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Premier, Datuk Amar Douglas Uggah Embas.
Justeru itu, beliau menyeru rakyat agar terus bersatu dan memberi sokongan penuh kepada Kerajaan GPS dengan mengutamakan perpaduan.
Kerana dengan kunci perpaduan, jelasnya, Sarawak akan terus maju, makmur dan aman, selari dengan matlamat PCDS 2030.




