Tun Taib arkitek pembangunan Bintulu

BINTULU: Pembangunan pesat Bintulu pada hari ini adalah hasil pelan rancangan dan idea Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Dr Haji Abdul Taib Mahmud selama ini(semasa menjadi Ketua Menteri).

Menteri di Jabatan Ketua Menteri(Integriti dan Ombudsman) Datuk Haji Talib Zulpilip berkata pembangunan pesat itu dapat dilihat dari segi fizikal bandar dan keadaan Bintulu masa kini berbanding beberapa tahun yang lalu.

Menyifatkan Taib sebagai arkitek pembangunan Bintulu, beliau berkata idea dan pelaksanaan (idea Taib) telah merubah wajah Bintulu sehingga menjadi kawasan perindustrian kosmopolitan yang menyumbang kepada peningkatan pelabur serta melahirkan ramai Ahli perniagaan tempatan yang berjaya hari ini.

Talib berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ramah Tamah Aidilfitri Lembaga Amanah Kebajikan Islam Bintulu (LAKIB) 2019 di Hotel ParkCity Everly, di sini.

Yang DiPertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud diiringi Menteri Muda E- Dagang, Menteri Muda Keusahawanan dan Pembangunan Perusahaan Kecil dan Sederhana Datuk Haji Mohd Naroden Haji Majais hadir pada majlis tersebut.

Justeru, Talib, yang juga ADUN Jepak mengajak penduduk Bintulu kekal bersatu sekali gus mempertahankan perpaduan kaum yang sedia terjalin supaya pembangunan bandar ini berjalan lancar mengikut perancangan.

Beliau turut berharap penduduk Bintulu dapat bergaul mesra dan meraikan perayaan bersama bagi memperkukuhkan serta mengeratkan hubungan yang sedia terjalin antara mereka.

Anggaran 300 orang terdiri daripada ketua jabatan dan agensi kerajaan, ketua masyarakat dan kaum, komponen parti Gabungan Parti Sarawak (GPS) hadir sama.