KUCHING: Beberapa naskhah buku hasil penulisan Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar bakal menjadi sumber dokumentasi serta rujukan penting kepada masyarakat, khususnya generasi akan datang.
Pertemuan beliau bersama rakan lama, M. Rajah di kediaman rasmi Astana Negeri, Petra Jaya pada jam 8.30 pagi tadi turut dimanfaatkan bagi membincangkan kemajuan buku berkenaan yang kini berada dalam fasa penerbitan.
M. Rajah merupakan wartawan veteran serta penulis berpengalaman yang kini giat membantu menyiapkan karya-karya tersebut.
Dalam pada itu, antara buku yang dibincangkan termasuk projek penulisan yang dimulakan oleh mendiang Datuk James Ritchie iaitu tokoh kewartawanan yang banyak menyumbang kepada usaha pendokumentasian sejarah serta pembangunan Sarawak.
Sehubungan itu, Tun Wan Junaidi menzahirkan hasrat agar naskhah tersebut dapat diterbitkan pada tahun ini.
“Buku-buku ini diharapkan bukan sekadar menjadi bahan bacaan santai, malah berperanan sebagai sumber dokumentasi serta rujukan yang bermakna kepada masyarakat, khususnya generasi akan datang,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.



