ARTIKEL

Hasidah ketika menjawab soalan ADUN Bukit Assek, Chieng Jin Ek, berhubung status terkini perkara di bawah MA63 yang masih belum diselesaikan, khususnya berkaitan perwakilan satu pertiga kerusi Parlimen bagi Sarawak dan Sabah, pada persidangan DUN Sarawak, hari ini.

Tiada kerusi Parlimen tambahan selagi proses perlembagaan belum selesai

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Tiada kerusi Parlimen tambahan dapat diwujudkan secara sah selagi langkah-langkah seterusnya belum diselesaikan, walaupun perkara itu dipersetujui secara prinsip oleh Jemaah Menteri Persekutuan, kata Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan) Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali.

Menurutnya, antara langkah yang perlu dilaksanakan bagi merealisasikan usaha meningkatkan kadar perwakilan Sabah dan Sarawak di Dewan Rakyat selaras dengan semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) ialah memuktamadkan persetujuan mengenai formula dan jumlah kerusi antara Kerajaan Persekutuan, Sarawak dan Sabah, menyediakan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) untuk kelulusan Parlimen, serta melaksanakan persempadanan semula oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) selepas itu.

“Komposisi Dewan Rakyat ditetapkan di bawah Perkara 46 Perlembagaan Persekutuan. Sebarang pertambahan kerusi bagi Sabah dan Sarawak memerlukan pindaan Perlembagaan yang diluluskan dengan sokongan majoriti dua pertiga di Parlimen.

“Selepas itu, proses persempadanan semula akan dilaksanakan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya di bawah Perkara 113 dan Jadual Ketiga Belas Perlembagaan Persekutuan.

“Selagi langkah-langkah ini belum diselesaikan, tiada kerusi Parlimen tambahan yang diwujudkan secara sah. Atas sebab itu, SPR menyatakan bahawa pada masa ini tiada cadangan untuk menambah kawasan pilihan raya Parlimen di Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Assek, Chieng Jin Ek, berhubung status terkini perkara di bawah MA63 yang masih belum diselesaikan, khususnya berkaitan perwakilan satu pertiga kerusi Parlimen bagi Sarawak dan Sabah pada persidangan DUN Sarawak, hari ini.

Menjelaskan lebih lanjut, Hasidah berkata perwakilan satu pertiga kerusi Sabah dan Sarawak di Dewan Rakyat berasaskan pembentukan asal Malaysia dan kekal sebagai perlindungan perlembagaan bagi memastikan keseimbangan dalam Persekutuan.

Katanya, ketika Malaysia dibentuk pada 1963, Parlimen mempunyai 159 kerusi, dengan pecahan Tanah Melayu 104 kerusi, Sarawak (24 kerusi), Sabah (16 kerusi) dan Singapura (15 kerusi).

Sehubungan itu, beliau berkata secara keseluruhan, Sarawak, Sabah dan Singapura mempunyai 55 kerusi, iaitu kira-kira satu pertiga daripada jumlah kerusi Parlimen, namun selepas Singapura berpisah daripada Malaysia pada 1965, bahagian perwakilan itu tidak diagihkan semula.

Susulan itu, Hasidah berkata pada masa ini, Sarawak mempunyai 31 kerusi, manakala Sabah mempunyai 25 kerusi, menjadikan jumlah keseluruhan 56 daripada 222 kerusi Parlimen, iaitu kira-kira 25 peratus.

“Jika kadar satu pertiga digunakan berdasarkan jumlah semasa 222 kerusi, Sarawak dan Sabah perlu mempunyai 74 kerusi Parlimen secara bersama,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa nisbah itu penting kerana pindaan perlembagaan memerlukan sokongan majoriti dua pertiga ahli Parlimen, iaitu 148 daripada 222 ahli Parlimen.

“Pada 1963, Tanah Melayu mempunyai 104 kerusi, jumlah yang tidak mencukupi untuk mencapai majoriti dua pertiga yang ketika itu memerlukan 106 kerusi.

“Pada masa ini, Semenanjung Malaysia mempunyai 166 kerusi Parlimen, jumlah yang mencukupi untuk meluluskan pindaan Perlembagaan tanpa sokongan ahli Parlimen daripada Sabah dan Sarawak.

“Oleh itu, nisbah satu pertiga berfungsi sebagai perlindungan bagi mengekalkan keseimbangan dalam persekutuan, dan bukannya sekadar persoalan jumlah kerusi,” katanya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU