KUCHING: Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Sanusi berkenan menyaksikan perlawanan akhir bagi Kejohanan Bola Sepak Piala Emas Rebutan Yayasan Sarawak, di Stadium Sarawak, pada 29 November ini.
Perkara tersebut dinyatakan semasa kunjungan hormat daripada delegasi jawatankuasa penganjur kejohanan tersebut, di kediaman rasmi Tun Wan Junaidi pada 10 pagi tadi.
Kunjungan tersebut diketuai oleh Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, merangkap Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah.
Tujuan utama kunjungan adalah untuk menyampaikan watikah jemputan rasmi kepada Tun Wan Junaidi dan isteri bagi menyempurnakan majlis penutupan rasmi serta menyaksikan perlawanan akhir kejohanan tersebut.
Sehubungan itu, Tun Wan Junaidi menzahirkan pandangan bahawa usaha perlu terus diperkukuh bagi meningkatkan daya saing atlet sukan negeri.
Ini khususnya bagi pemain bola sepak agar keupayaan dan mutu persembahan mereka dapat ditingkatkan dan mampu bersaing di peringkat global.
Tun Wan Junaidi turut menyeru peminat bola sepak tempatan agar hadir beramai-ramai bagi memberi sokongan kepada pemain-pemain muda yang bakal beraksi dalam kejohanan itu kelak.
Beliau turut mendoakan agar para pemain terus bersemangat menggilap bakat, memperkukuh kemampuan serta meningkatkan mutu permainan secara konsisten demi melahirkan lebih ramai atlet bertaraf dunia.

