ARTIKEL

Tun Pehin Sri Dr Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi menyambut ketibaan Sultan Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ketika menghadiri Majlis Istiadat Mengadap dan Mengurniakan Bintang-Bintang Kebesaran Negara Brunei Darussalam di Istana Nurul Iman. (Foto: Astana Sarawak)

Tun Wan Junaidi hadiri istiadat pengurniaan bintang kebesaran Brunei

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

BANDAR SERI BEGAWAN: Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi berkenan menghadiri Majlis Istiadat Mengadap dan Mengurniakan Bintang-Bintang Kebesaran Negara Brunei Darussalam di Balai Singgahsana Indera Buana, Istana Nurul Iman, hari ini.

Kehadiran Tun Wan Junaidi dan Toh Puan Fauziah ke majlis berkenaan turut diiringi Timbalan Premier Sarawak selaku Menteri Pengiring, Datuk Amar Haji Awang Tengah Ali Hasan serta isteri, Datuk Hajah Dayang Morliah Awang Daud.

Sultan Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah serta Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha membaca doa pada Majlis Istiadat Mengadap dan Mengurniakan Bintang-Bintang Kebesaran Negara Brunei Darussalam di Istana Nurul Iman. (Foto: Astana Sarawak)

Majlis penuh istiadat itu diadakan bersempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang ke-80.

Turut hadir pada majlis berkenaan ialah kerabat diraja Brunei, pembesar negara, anggota kor diplomatik asing serta tetamu kehormat dari dalam dan luar negara.

Tun Pehin Sri Dr Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi ketika menghadiri Majlis Istiadat Mengadap dan Mengurniakan Bintang-Bintang Kebesaran Negara Brunei Darussalam di Istana Nurul Iman. (Foto: Astana Sarawak)

Ketibaan Tun Wan Junaidi dan Toh Puan Fauziah di Istana Nurul Iman disambut menerusi istiadat protokol diraja, mencerminkan keakraban persahabatan serta hubungan diplomatik dan kebudayaan yang telah lama terjalin antara Sarawak dan Brunei Darussalam.

Pada majlis tersebut, Tun Wan Junaidi dan Toh Puan Fauziah turut berkesempatan menghadap serta menyampaikan ucapan tahniah kepada Sultan Brunei dan Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha sempena sambutan ulang tahun keputeraan baginda.

Kehadiran pemimpin tertinggi Sarawak itu memperlihatkan komitmen berterusan dalam memperkukuh hubungan dua hala antara Sarawak dan Brunei Darussalam, selain mempererat silaturahim serta membuka ruang kerjasama lebih luas demi kepentingan bersama pada masa hadapan.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU