KUALA LUMPUR: Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar telah menghadiri Mesyuarat Majlis Raja-Raja (MRR) Kali Ke-269 yang berlangsung di Balai Mesyuarat, Istana Negara pada jam 10 pagi hari ini.


Keberangkatan tiba Wan Junaidi disambut mesra oleh Datuk Paduka Maharaja Lela Istana Negara, Datuk Azuan Effendy Zairakithnaini; Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad; serta pegawai kanan Istana Negara yang lain.
Hadir mengiringi Wan Junaidi ialah Timbalan Premier, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan yang turut mewakili Premier.
Sebelum mesyuarat bermula, Wan Junaidi turut berkesempatan menghadap Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

Wan Junaidi menerusi hantaran di Facebook rasminya berkata, beliau mendoakan agar negara terus dilimpahi rahmat serta dikurniakan keamanan dan kesejahteraan yang berterusan di bawah naungan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.
Mesyuarat MRR dimulakan dengan titah ucapan oleh Pengerusi Mesyuarat, Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, dan diakhiri dengan sembah taklimat oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja.
Antara agenda penting mesyuarat kali ini termasuk Taklimat Khas Keselamatan yang disampaikan oleh Ketua Polis Negara serta Panglima Angkatan Tentera Malaysia.
Mesyuarat ini merupakan wadah tertinggi bagi Raja-Raja Melayu dan Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri untuk bersama-sama berbincang, memberi nasihat serta pandangan berhubung dasar-dasar negara, khususnya hal-hal yang berkait rapat dengan kepentingan dan kesejahteraan rakyat.



