KUCHING: Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi menerima kunjungan hormat daripada delegasi Persatuan Jatti Miriek Miri, hari ini.

Kunjungan hormat yang berlangsung di kediaman rasmi beliau di Petra Jaya, di sini, sekitar 10 pagi, menyaksikan delegasi tersebut diketuai oleh Naib Presiden persatuan, Datuk Mohamad Safri Abdillah yang juga hadir mewakili presiden.
Antara objektif kunjungan tersebut adalah untuk memperkenalkan barisan ahli jawatankuasa persatuan serta mendapatkan pandangan dan nasihat daripada Tun Wan Junaidi berhubung peranan persatuan dalam memperkasa komuniti Jatti Miriek di negeri ini.
Dalam pertemuan tersebut juga, persatuan turut merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih atas peranan Tun Wan Junaidi dalam memastikan status kumpulan etnik Sarawak diiktiraf secara rasmi oleh Kerajaan Sarawak.
Sehubungan itu, dalam sesi perbincangan Tun Wan Junaidi juga menjelaskan kepentingan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) untuk diiktiraf dan dimaktubkan ke dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia bagi memastikan hak anak Sarawak terus terpelihara selaras dengan semangat pembentukan Persekutuan Malaysia.
Beliau turut menasihatkan ahli persatuan agar melaksanakan amanah dan tanggungjawab dengan penuh keikhlasan serta menegaskan bahawa budaya dan warisan bukan sekadar peninggalan masa lalu, sebaliknya merupakan asas penting dalam membentuk jati diri dan menentukan hala tuju masyarakat pada masa hadapan.
Dalam hal bekaitan, beliau turut menzahirkan penghargaan atas usaha persatuan dalam menerbitkan buku berkaitan kebudayaan dan warisan komuniti Jatti Miriek.
Sementara, Tun Wan Junaidi dan Toh Puan Fauziah mendoakan agar Persatuan Jatti Miriek Miri akan terus mencapai matlamat utamanya dalam memelihara warisan, bahasa dan budaya agar tidak ditelan zaman serta memperkasa kebajikan ahli serta komuniti mereka selaras dengan agenda pembangunan Sarawak.

