ARTIKEL

Tun Wan Junaidi lambang perpaduan Sarawak

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Pengorbanan Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar ketika mempertahankan keselamatan Sarawak serta pengalaman luasnya dalam perkhidmatan awam menjadi antara sumbangan penting yang terus dihargai dalam membina perpaduan rakyat berbilang kaum dan agama di negeri ini.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, perjalanan kerjaya Wan Junaidi daripada anggota pasukan keselamatan kepada peguam, ahli politik, anggota Kabinet Persekutuan dan Yang di-Pertua Dewan Negara sebelum dilantik sebagai Yang di-Pertua Negeri Sarawak memperlihatkan keluasan pengalamannya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Istiadat Perbarisan dan Rapat Raksasa sempena Sambutan Ulang Tahun Kelahiran Ke-80 Yang di-Pertua Negeri Sarawak di Padang Merdeka, di sini, hari ini.

Menurut Abang Johari, jasa Wan Junaidi ketika berkhidmat dalam Pasukan Polis Hutan di Kawasan Keselamatan Rajang (RASCOM), khususnya ketika menghadapi ancaman komunis, mencerminkan pengorbanan besar demi menjamin keamanan Sarawak.

Katanya, kesediaan Wan Junaidi mempertaruhkan nyawa ketika menjalankan tugas keselamatan merupakan sebahagian daripada sejarah perjuangan membebaskan negeri ini daripada ancaman komunis.

Beliau berkata, pengalaman Wan Junaidi dalam bidang keselamatan, perundangan, perlembagaan dan pentadbiran negara turut memberikan perspektif luas terhadap perjalanan pemerintahan negeri serta negara.

Abang Johari menegaskan, institusi Yang di-Pertua Negeri bukan sahaja sebahagian daripada struktur perlembagaan Sarawak, malah melambangkan kesinambungan pentadbiran, kestabilan dan keharmonian masyarakat.

Katanya, perpaduan rakyat perlu terus dipelihara melalui sikap saling menghormati, toleransi dan kesediaan hidup bersama meskipun berbeza latar belakang.

Kestabilan itu juga menjadi asas kepada pembangunan jangka panjang, usaha menarik pelaburan dan pembinaan masa depan lebih baik untuk generasi akan datang.

Sempena sambutan itu, beliau mendoakan agar Wan Junaidi dan isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi, dikurniakan kesihatan, ketenangan dan kesejahteraan, selain berharap perpaduan di bawah naungan Yang di-Pertua Negeri terus menyokong usaha menjadikan Sarawak negeri termaju di Malaysia menjelang 2030.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU