KUCHING: Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersama-sama isteri Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi menghadiri Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri anjuran Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti (KPWK) Datuk Seri Fatimah Abdullah, hari ini.
Ketibaan Tun Wan Junaidi dan Toh Puan Fauziah disambut mesra oleh Fatimah dan suaminya Datuk Dr Adi Badiozaman Tuah serta ahli keluarga yang lain di kediaman mereka di Jalan Sultan Tengah, di sini.
Majlis tersebut bukan sekadar meraikan kemeriahan Aidilfitri, malah turut menyaksikan penyampaian sumbangan peralatan kamera oleh Toh Puan Fauziah kepada seorang ibu tunggal, Nor Karmira Benny Karmilan.

Menurut kenyataan KPWK, Nor Karmira merupakan ibu tunggal yang tidak mempunyai pekerjaan tetap kerana perlu memberikan tumpuan sepenuhnya kepada penjagaan anak-anak, termasuk seorang anak lelaki berstatus Orang Kurang Upaya (OKU).
Berdasarkan penilaian awal oleh Majlis Pembangunan Sosial (MPS), penerima menghadapi kekangan kewangan yang meruncing bagi menanggung lima anak yang masih bersekolah, manakala keperluan penjagaan rapi anak OKU mengehadkan keupayaan beliau untuk bekerja sepenuh masa.
Pendapatan yang diperoleh melalui kerja sambilan sebagai jurugambar juga tidak menentu dan meskipun menerima bantuan bulanan, jumlah tersebut masih belum mencukupi bagi menampung kos sara hidup serta keperluan khas keluarga berkenaan.
Nor Karmira merupakan bekas pelatih GIATMARA Kuching dalam bidang Teknologi Fotografi dan dikategorikan sebagai antara pelajar cemerlang dalam kursus tersebut.
Sehubungan itu, sebagai usaha intervensi, KPWK menyalurkan bantuan melalui program Pemerkasaan Keluarga Berpendapatan Rendah (LIFE) dengan menyediakan peralatan khusus bagi menyokong aktiviti peningkatan pendapatan.
Inisiatif tersebut bertujuan memberi peluang kepada penerima untuk menukarkan kemahiran fotografi kepada sumber rezeki yang lebih mampan demi kelangsungan hidup keluarga.
Turut hadir Timbalan Menteri di Jabatan Premier (Penyelarasan Agensi Pembangunan Wilayah, Dewan Bandaraya Kuching Utara dan Hal Ehwal Islam) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi selaku menteri pengiring bersama-sama isterinya Datin Siti Shorgayah Ahmad Zaidin.


