KUCHING: Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersama-sama Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi pagi tadi berkenan menerima kunjungan hormat delegasi Ombudsman Sarawak di Astana Negeri Sarawak.
Delegasi berkenaan diketuai oleh Ketua Ombudsman Sarawak Datuk Seri Abdul Ghafur Shariff.
Turut mengiringi beliau ialah Timbalan Ketua Ombudsman Sarawak, Alexander Unya Ambon serta tiga Ahli Ombudsman Sarawak iaitu Datuk Buckland Bangik, Albert Tang Yew Liong dan Toieyah Tioh.
Pertemuan yang berlangsung dalam suasana mesra dan muhibah itu bertujuan memperkenalkan barisan kepimpinan baharu Ombudsman Sarawak.
Selain itu, ia bagi mendapatkan pandangan serta nasihat daripada Tun Wan Junaidi berkaitan usaha memperkukuh ketelusan pentadbiran, memperkasakan sistem penyampaian perkhidmatan awam dan meningkatkan integriti dalam tadbir urus negeri.
Dalam sesi tersebut, Tun Wan Junaidi turut menerima dua penerbitan daripada Abdul Ghafur iaitu Ombudsman Concept, Principles and Paradigms dan Sarawak Ombudsman Ordinance sebagai rujukan berkaitan peranan serta fungsi institusi tersebut dalam memperkukuh tadbir urus yang baik.
Pertemuan itu mencerminkan komitmen berterusan Ombudsman Sarawak dalam memperkasakan prinsip akauntabiliti, ketelusan dan tadbir urus berintegriti selaras dengan aspirasi pembangunan Sarawak yang mengutamakan kesejahteraan rakyat.
Dalam pada itu, Tun Wan Junaidi dan Toh Puan turut menzahirkan harapan agar Ombudsman Sarawak terus memainkan peranan sebagai institusi berwibawa dalam menegakkan integriti, keadilan dan ketelusan, sekali gus memperkukuh keyakinan rakyat dengan sistem pentadbiran serta menyumbang kepada kemajuan dan kemakmuran Sarawak.





