KUCHING: Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, dan isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi, menerima kunjungan hormat daripada Persatuan Ulama Sarawak (ITTIHAD) di Astana Negeri Sarawak, Petra Jaya, di sini.
Delegasi Persatuan Ulama Sarawak (ITTIHAD) diketuai oleh Datuk Mohamed Ali Mohamed Sheriff selaku Yang di-Pertua; Timbalan Yang di-Pertua, Dr Syed Abdul Aziz Datuk Wan Hamid Edrus; dan Setiausaha, Muhammad Adib Saini.
Sehubungan itu, Wan Junaidi menzahirkan penghargaan atas usaha dan komitmen ITTIHAD dalam memartabatkan pendidikan Islam serta memperkukuh jaringan dakwah di negeri ini.
Katanya, ITTIHAD akan terus berperanan secara aktif dalam mendidik ummah, memperkukuh nilai-nilai Islam serta menjadi rakan strategik kepada kerajaan dalam pembangunan sosial dan spiritual rakyat.

“Justeru, kerjasama erat antara badan dakwah dengan agensi kerajaan amat penting bagi memastikan mesej Islam disampaikan dengan hikmah serta memberi kesan positif, khususnya kepada masyarakat pelbagai kaum di Sarawak,” katanya menerusi hantaran di Facebook rasminya.
Sementara itu, menerusi pertemuan tersebut, rombongan ITTIHAD memperkenalkan latar belakang pertubuhan, fungsi serta pelbagai aktiviti dan program pendidikan, dakwah dan kebajikan yang dijalankan untuk manfaat masyarakat Islam di negeri ini.
Selain itu, ITTIHAD turut berkongsi aspirasi untuk terus memperkukuh peranan institusi dakwah dalam mendidik serta membimbing ummah ke arah kesejahteraan dan perpaduan.
KAPSYEN:
P1 & P2: Sekitar rakaman kenangan ketika Wan Junaidi dan Fauziah menerima kunjungan hormat daripada Persatuan Ulama Sarawak (ITTIHAD) di Astana Negeri Sarawak, Petra Jaya, di sini. FOTO: Astana Negeri Sarawak




