KUCHING: Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dianugerahkan Ijazah Doktor Kehormat dalam Pengurusan oleh Universiti Tun Abdul Razak (UNIRAZAK) pada Istiadat Konvokesyen Ke-24 bertempat di Kuala Lumpur, hari ini.
Penganugerahan tersebut merupakan pengiktirafan khas terhadap kepimpinan, dedikasi serta sumbangan Tun Wan Junaidi dalam memperkukuh tadbir urus, memajukan masyarakat serta mengangkat martabat Sarawak dan negara.


Ia juga penghargaan terhadap perkhidmatan luas beliau dalam bidang pentadbiran, perkhidmatan awam dan legislatif yang mencerminkan integriti, kebijaksanaan serta kepimpinan berpandangan jauh, sekali gus menjadi teladan kepada generasi masa hadapan.
Dalam ucapan penerimaan anugerah, Tun Wan Junaidi menzahirkan penghargaan mendalam atas penghormatan yang diberikan, sambil menyifatkannya sebagai pengiktirafan bukan sahaja terhadap dirinya, malah terhadap nilai yang sentiasa beliau junjung sepanjang hidupnya.
“Saya menerima Ijazah Doktor Kehormat daripada UNIRAZAK ini dengan penuh kerendahan hati, termasuk bagi pihak semua yang telah bersama-sama melalui perjalanan ini bersama saya.
“Ini juga merangkumik rakan seperjuangan, keluarga serta rakyat Malaysia yang komited untuk membina sebuah negara yang lebih baik,” katanya.
Tambahnya, anugerah tersebut juga merupakan penghormatan kepada prinsip perkhidmatan, integriti dan pencarian ilmu yang menjadi pegangan sepanjang hidup beliau.
“Keberkesan kepimpinan tidak hanya bersandarkan jawatan, tetapi berpaksikan watak, keperibadian, integriti, empati dan kebijaksanaan,” ujarnya.
Mengucapkan tahniah kepada graduan Kelas 2025, Tun Wan Junaidi berkata kejayaan mereka amat bermakna kerana menamatkan pengajian di bawah tema Breaking Through.
“Ini bukan istilah biasa. Ia mencerminkan pengorbanan, disiplin dan kekuatan tekad untuk mengatasi cabaran, sama ada cabaran peribadi mahupun global.
“Namun, konvokesyen ini bukan pengakhiran tetapi permulaan. Maka, teruskan memandang ke hadapan melihat ke mana anda harus melangkah selepas ini,” tegasnya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada UNIRAZAK atas penganugerahan berkenaan dan berharap universiti itu akan terus melahirkan graduan berwawasan yang mampu menyumbang secara bermakna kepada pembangunan negara.
Anugerah tersebut membawa maksud pengiktirafan akademik tertinggi universiti terhadap sumbangan luar biasa seseorang tokoh dalam bidang kepimpinan, tadbir urus dan pembangunan negara, walaupun individu tersebut tidak mengikuti laluan pengajian formal di universiti berkenaan bagi ijazah tersebut.
Dalam konteks ini, penganugerahan diberikan sebagai penghormatan atas pencapaian seumur hidup Tun Wan Junaidi dalam pengurusan hal ehwal awam, perkhidmatan negara, penggubalan dasar serta kepimpinan berwibawa yang memberi impak besar kepada Sarawak dan Malaysia.




